Buletin

VOLKSCAMP 2.0: 130 VOLKSWAGEN, SATU JIWA, 1001 CERITA

Komuniti automotif bukan sekadar menjadi tempat berkumpul bagi individu yang berkongsi minat terhadap kenderaan, malah memainkan peranan penting dalam memelihara warisan, berkongsi pengetahuan serta mengeratkan hubungan antara generasi peminat.

Bagi penggemar kenderaan klasik, hubungan yang terjalin melangkaui soal pemilikan apabila pengalaman membaik pulih, menyelenggara dan mengembara bersama menjadi sebahagian daripada budaya yang terus diwarisi.

Semangat itu diterjemahkan menerusi penganjuran Volkscamp 2.0 yang berjaya menghimpunkan kira-kira 130 buah Volkswagen klasik daripada pelbagai model di Santai Riverside, Janda Baik, Bentong, Pahang, baru-baru ini.

Program anjuran PITA Gorasta yang berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober lalu itu menerima penyertaan pemilik Volkswagen klasik dari seluruh negara, termasuk Perlis, Johor, Terengganu dan Kelantan, selain kehadiran peserta dari Singapura.

Menurut wakil penganjur, Mohd Zaidi, 46, Volkscamp yang memasuki edisi kedua selepas penganjuran sulung pada 2023 bertujuan mengukuhkan hubungan sesama pemilik Volkswagen klasik, khususnya antara generasi lama dengan peminat muda.

Katanya, perkembangan komuniti itu memperlihatkan semakin ramai golongan muda mula menunjukkan minat terhadap Volkswagen klasik, bukan sahaja sebagai kenderaan koleksi, tetapi juga sebahagian daripada gaya hidup.

“Dahulu, pemilik Volkswagen Beetle atau Kombi sering dikaitkan dengan golongan berusia. Namun, sekarang semakin ramai anak muda memiliki dan menyimpan kenderaan klasik ini walaupun mereka mempunyai kenderaan moden untuk kegunaan harian,” katanya.

Beliau berkata, pertemuan secara bersemuka juga memberi peluang kepada ahli komuniti yang sebelum ini hanya berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial untuk berkongsi pengalaman serta pengetahuan.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk aspek penyelenggaraan, pembaikan, sumber alat ganti dan cadangan destinasi perjalanan serta lokasi perkhemahan menarik di seluruh negara.

Selain itu, penganjur turut menyediakan aktiviti swap meet yang membolehkan peserta menjual atau bertukar alat ganti serta barangan berkaitan Volkswagen secara terus di kawasan perkhemahan tanpa dikenakan bayaran.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan aktiviti santai seperti barbeku, unggun api dan perkhemahan yang memberi peluang kepada peserta meluangkan masa bersama keluarga serta rakan komuniti.

Sementara itu, antara acara kemuncak Volkscamp 2.0 ialah sesi perkongsian pengalaman perjalanan darat dari Malaysia ke Jerman oleh dua pemilik Volkswagen klasik, Syahmi dan J.K.

Kedua-duanya berkongsi pengalaman mengembara menggunakan Volkswagen Safari Type 181 keluaran sekitar tahun 1960-an, termasuk perjalanan ke negara asal pengeluar kenderaan berkenaan.

Perkongsian tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai cabaran perjalanan jarak jauh, persediaan kenderaan serta pengalaman yang diperoleh sepanjang pengembaraan merentasi sempadan negara.

Menurut Mohd Zaidi, penganjuran Volkscamp juga diharap dapat memastikan minat terhadap Volkswagen klasik terus berkembang dan tidak terhad kepada kelompok pemilik sedia ada.

Katanya, penglibatan generasi muda penting bagi memastikan pengetahuan mengenai penjagaan, pembaikan dan sejarah kenderaan klasik dapat diteruskan pada masa hadapan.

Dalam suasana nyaman dan berkabus di Janda Baik, pertemuan selama tiga hari itu bukan sahaja meraikan keunikan Volkswagen klasik, malah membuktikan bahawa minat terhadap kenderaan mampu menjadi penghubung persahabatan tanpa mengira usia, latar belakang mahupun sempadan negara.

GALERI:

Google ads
Back to top button