
VOLVO EX60 DILANCARKAN 21 JANUARI – TAWAR JARAK GERAK 810KM
Volvo sekali lagi menetapkan penanda aras baharu dalam dunia kereta elektrik (EV) dengan pelancaran model EX60 yang dijangka pada 21 Januari 2026.
Menariknya, SUV elektrik sepenuhnya ini mampu menawarkan jarak perjalanan lebih jauh dan kadar pengecasan lebih pantas berbanding model flagshipnya, EX90.
Varian pacuan semua roda EX60 dijangka mampu bergerak sehingga 810km dalam satu pengecasan penuh (WLTP sementara), melebihi jarak perjalanan ES90 sebelum ini.
Menurut Volvo, EX60 dibangunkan khusus untuk pengalaman memandu sebenar, selaras dengan keperluan harian pengguna.
Dengan sistem elektrik 800V, SUV ini menyokong pengecas pantas DC sehingga 400kW, membolehkan tambahan jarak sehingga 340km dalam hanya 10 minit pengecasan.
Keupayaan luar biasa ini dimungkinkan menerusi platform SPA3 baharu, yang menurut Volvo merupakan platform paling canggih mereka setakat ini.
Bateri dipasang terus ke dalam rangka kenderaan menggunakan teknologi cell-to-body, menyeimbangkan ketumpatan tenaga dan kuasa.
EX60 juga menjadi model Volvo pertama menggunakan “mega casting”, menggantikan ratusan komponen kecil dengan satu bahagian tunggal, sekali gus mengurangkan berat keseluruhan kenderaan.
Motor elektrik dan perisian kawalan bateri yang dibangunkan sendiri oleh Volvo turut membantu menurunkan berat dan meningkatkan kecekapan pengurusan haba, sekali gus mempercepatkan masa pengecasan.
Semua EX60 turut dilengkapi jaminan bateri selama 10 tahun, menjanjikan ketahanan jangka panjang.
Seperti dinyatakan di atas, Volvo EX60 akan dilancarkan secara rasmi pada 21 Januari 2026, dan acara pelancaran penuh akan disiarkan secara langsung melalui penstriman atas talian.





