
NISSAN WAVE HIDUPKAN SEMULA ERA RETRO JDM DALAM BENTUK EV
Nissan dilihat bersedia menghidupkan semula semangat era JDM klasik dengan pendekatan moden, menyusul langkah rakan strategiknya, Renault, yang giat menghidupkan semula model ikonik seperti Renault 5, 4 dan Twingo.
Kali ini, Nissan dilaporkan merancang sebuah hatchback elektrik kompak baharu yang dikenali sebagai Wave – bakal diperkenalkan seawal tahun hadapan.
Menurut laporan media automotif Eropah, Nissan Wave akan dibangunkan bersama Renault dan dikilangkan di fasiliti yang sama dengan generasi baharu Twingo.
Model ini akan diposisikan di bawah Micra dalam barisan Nissan, selari dengan strategi sebelum ini yang menyaksikan Micra baharu diasaskan daripada platform Renault 5.

Namun, Wave dijangka tampil dengan identiti yang lebih berani dan unik. Reka bentuknya dikatakan mengambil inspirasi daripada siri kereta ‘Pike’ Nissan yang popular sekitar akhir 1980-an dan awal 1990-an.
Projek Pike merupakan inisiatif kreatif Nissan yang melahirkan model kultus seperti Be-1, Figaro, Pao dan S-Cargo – kereta kecil berasaskan mekanikal ringkas, tetapi sarat dengan karakter dan sentuhan retro yang kuat.
Di sebalik rupa nostalgianya, Wave dijangka berkongsi sepenuhnya teknologi dengan kembar dari Perancis itu. Ia dijangka menggunakan bateri berkapasiti sekitar 27.5kWh dengan kimia litium ferum fosfat (LFP) bagi menekan kos, serta menawarkan jarak pemanduan kira-kira 262 kilometer.
Prestasi ini jelas menyasarkan penggunaan bandar, bukan perjalanan jarak jauh.

Golongan pemandu muda dan penduduk bandar dijangka menjadi sasaran utama, dengan harga permulaan sekitar bawah AS$27,000 (RM109,728) dilihat sebagai faktor penting untuk menarik minat pembeli.
Nissan sebenarnya sudah lama tidak bersaing secara serius dalam segmen kereta kecil kos rendah sejak Pixo dihentikan pengeluaran pada 2013.
Jika Wave benar-benar mampu menggabungkan harga berpatutan, jarak pemanduan praktikal dan reka bentuk retro yang menarik, ia berpotensi mengembalikan daya tarikan kereta kecil dalam pasaran moden.
Walau bagaimanapun, persaingan dijangka sengit. Selain berdepan dengan Renault Twingo versi elektrik, Nissan Wave juga bakal berentap dengan model baharu Volkswagen ID.1 (atau ID.Up) yang dijangka dilancarkan sekitar 2027, serta pencabar dari China seperti BYD Dolphin Surf.



