XPEL JALIN KERJASAMA DENGAN JOHOR MOTORSPORTS RACING BAGI MUSIM 2026
Peneraju filem perlindungan automotif, XPEL, mengumumkan kerjasama strategik bersama Johor Motorsports Racing (JMR) bagi musim perlumbaan 2026, sekali gus mengukuhkan kehadirannya dalam arena sukan permotoran Asia.
Kerjasama ini tercetus susulan prestasi cemerlang JMR, termasuk kejayaan menaiki podium pada perlumbaan Suzuka 1000 Endurance 2025.
Bermula sebagai kolaborasi awal, hubungan kedua-dua pihak kini berkembang menjadi perkongsian penuh sepanjang musim, berteraskan visi bersama terhadap prestasi, ketepatan dan inovasi.
Naib Presiden Asia Pasifik XPEL, Chris West, berkata kerjasama ini selari dengan komitmen syarikat untuk mempamerkan keupayaan produk perlindungannya dalam persekitaran perlumbaan paling mencabar, di samping mendekati peminat automotif di rantau ini.

Sementara itu, Presiden dan Pemandu Utama JMR, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, menyifatkan XPEL sebagai rakan ideal, khususnya dalam perlumbaan ketahanan yang menuntut perlindungan dan prestasi maksimum sepanjang tempoh perlumbaan.
“Saya telah menggunakan produk XPEL pada semua kereta saya sejak beberapa tahun lalu, jadi saya amat berbesar hati untuk menjalin kerjasama rasmi bagi musim baharu ini,” katanya.
“Penyelesaian perlindungan XPEL sangat penting dalam perlumbaan ketahanan jarak jauh, di mana kereta perlu berprestasi cemerlang dan kekal dalam keadaan terbaik dari awal hingga akhir.”
Pada musim 2025, JMR mencatat pelbagai kejayaan termasuk kemenangan debut Corvette Z06 GT3.R di Sepang, podium di Suzuka 1000, serta penyertaan berjaya dalam perlumbaan 24 Jam Spa di Belgium.
Bagi musim 2026, JMR dijadual bersaing dalam Asian Le Mans Series dan Intercontinental GT Challenge di beberapa litar utama dunia.
Kerjasama ini dijangka memperkukuh prestasi JMR di litar, sambil menonjolkan keupayaan teknologi perlindungan XPEL di peringkat antarabangsa.



