Buletin

VW GOLF R CKD DILANCARKAN. R PERFORMANCE PACKAGE, 320PS/400NM, SISTEM IQ.DRIVE, BERMULA RM330K 

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini memperkenalkan Golf R pemasangan tempatan (CKD) yang ditawarkan pada harga anggaran bermula RM330,000 hingga RM350,000 seunit.

“R-Rated” Golf R dilancarkan bersama “R Performance Package” sebagai standard yang merangkumi ekzos titanium Akrapovič, mode “Drift” dan “Special”, spoiler belakang baharu serta rim aloi Estoril bersaiz 19 inci.

Ekzos yang kini tujuh kilogram lebih ringan direka oleh pengeluar ekzos terkemuka Akrapovič. Terkenal dengan sistem ekzos premium dan berprestasi tinggi, jenama itu cukup sinonim dengan model-model terbaik Volkswagen termasuklah Golf R dan GTI.   

Satu lagi kemas kini menarik pada Golf R ialah mode “Drift” dan “Special” yang boleh diakses menggunakan butang “R” yang diletakkan pada stereng sporty dengan rekaan rata pada bahagian bawahnya. 

Apabila diaktifkan, mode Drift menyahaktifkan sistem Electronic Stability Control (ESC) dan menyalurkan kuasa tork secara seimbang kepada roda belakang, sekali gus memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan. 

Ketika mode “Drift” sangat sesuai untuk membuat aksi sliding, mode “Special” pula ialah mode terbaik untuk merasai pengalaman memandu di atas jalan kampung yang tidak rata kerana suspensi akan ditala bagi memberi kontak optimum dengan permukaan jalan. 

Direka khas untuk litar Nürburgring-Nordschleife, mode tersebut memberikan jentera ini satu talaan yang mampu memenuhi keperluan khusus bagi dipandu di atas antara litar paling mencabar di dunia itu.

Ciri-ciri tambahan baharu lain ialah Heads-Up Display (HUD yang dipancarkan ke cermin utama, pengecasan telefon pintar tanpa wayar dan bantuan lampu tinggi automatik. 

Di bawah hud, Golf R dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI yang mampu menjana 320PS dan tork 400Nm. Penukaran gear sangat pantas, terima kasih kepada transmisi DSG 7 kelajuan. Sementara aspek keseimbangan dan cengkaman dikekalkan oleh sistem pacuan semua roda 4MOTION bersama ciri pemvektoran prestasi tork. Pecutan dari 0 hingga 100km/j hanya mengambil masa 4.8 saat.

Aspek keselamatan Golf R baharu disokong oleh teknologi IQ.DRIVE yang terdiri daripada rangkaian ciri seperti Travel Assist dengan Adaptive Cruise Control (ACC), Side Assist, Front Assist, Lane Assist dan Emergency Assist.

Pengarah Urusan VPCM, Denyu Bostandzhiev yakin bahawa Golf R pemasangan tempatan akan mengujakan peminatnya di Malaysia.

“Kami sangat berbangga untuk memperkenalkan Golf R baharu kepada semua peminat tegar kami. Dengan pelbagai penambahbaikan baharu, kami melihat hatchback berprestasi tinggi ini sebagai jentera pemanduan terunggul di atas jalan raya dan litar lumba, dengan harga yang sangat menarik.”

“Menjadi negara pertama selain Jerman yang memasang model ini sememangnya menjadi satu penghormatan besar buat kami. Mandat istimewa yang diberikan oleh Volkswagen Jerman membuktikan komitmen berterusan kami terhadap jenama ini.

“Dengan pengenalan model baharu ini, saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa semua rangkaian produk kami dipasang di kilang Volkswagen di Pekan,” tambahnya. 

Lencana R bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia Volkswagen. Model-model R mewakili jentera Volkswagen yang paling berkuasa dan terbaik. Golf R ialah model jenama ini yang paling sporty dan menjentik emosi, selain memberi inspirasi kepada para peminat hatchback bergenerasi lamanya. 

Asal usul Golf R boleh dilihat bermula dari model R32 yang dilancarkan lebih dua dekad lalu. Ia dipasang dengan enjin 3.2 liter aspirasi biasa yang merupakan versi enjin VR6 Volkswagen yang unik. R32 juga menjadi Volkswagen pertama dilengkapi kotak gear klac berkembar. 

Selepas lima generasi, Golf R kekal menjadi sebuah model Golf “halo”. Tarikannya terletak pada kenyataan bahawa ia merupakan salah satu model serba lengkap yang ada di pasaran. Sebab itulah lebih 250,000 unit Golf R telah dihasilkan dan dijual di seluruh dunia. 

Golf R baharu didatangkan dalam tiga pilihan warna – warna biru signatur (Lapiz Blue), hitam (Deep Black) dan putih (Pure White).

Tempahan boleh dibuat di mana-mana pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Maklumat lanjut, sila layari laman web www.volkswagen.com.my

GALERI

Google ads
Back to top button