Artikel Pilihan

ISUZU PERNAH HASILKAN ENJIN V12 UNTUK F1

Isuzu mungkin satu jenama yang sinonim dengan pikap trak dan juga lori, tapi satu ketika dahulu mereka pernah menghasilkan kereta penumpang dan juga SUV. Namun ketika era kegemilangan ekonomi Jepun pada awal tahun 1980an, Isuzu juga pernah mencuba untuk menghasilkan enjin V12 bagi kegunaan perlumbaan F1.

Idea untuk menghasilkan enjin ini datang ketika Isuzu pada ketika itu memiliki hubungan perniagaan yang kukuh dengan GM dan juga pelbagai jenama lain yang berasal daripada Eropah. Pada waktu itu, Isuzu sebenarnya tidak pernah dan tiada pengalaman dalam menghasilkan enjin yang besar melebihi 6 silinder

Namun atas dasar abgi mencabar keupayaan diri sendiri, Isuzu memutuskan pada tahun 1989 mereka cukup bersedia dari segi kewangan dan juga pengetahuan untuk membina enjin perlumbaan F1. Enjin ini dibina atas tujuan latihan kejuruteran, sekadar memenuhi syarat untuk enjin bagi Group C. Dengan hanya 4 staff dan juga kelengkapan yang terhad, enjin P799WE ini berjaya dihasilkan sendiri oleh Isuzu.

Berikut ialah spesifikasi enjin V12 3500cc ini:

  • Panjang : 690mm
  • Lebar: 580mm
  • Tinggi: 495mm
  • Susunan silinder: V 12 silinder
  • Sudut antara blok silinder (°): 75°
  • Saiz enjin: 3,493cc
  • Kuasa: 646 hp @ 12,000rpm, 765 hp @ 13,500rpm
  • Tork: 402Nm @ 10,000 rpm (initial), 418Nm @ 11,500 rpm (late)
  • Piston: diameter 85mm
  • Lejang: 51.3mm
  • Nisbah mampatan: 13.0: 1
  • Berat: 158 kg (348 lbs.)

Tapi dalam operasi maksimum, enjin 3500cc V12 ini berupaya menjana sehingga 730 kuasa kuda dan 412Nm tork pada 14,000 RPM menurut beberapa sumber. Keupayaan enjin ini membuatkan Isuzu tidak sabar-sabar untuk menguji keupayaan enjin ini pada jentera F1 yang sebenar, dan jentera Lotus 102B yang memiliki hubungan perniagaan dengan Isuzu menjadi pilihan utama.

Pada ketika ini, Lotus bertanggungjawab menala Isuzu Impulse iaitu kereta sport yang dihasilkan oleh Isuzu. Ketika ini juga, prestasi Lotus juga bukanlah dalam keadaan yang terbaik dan mereka sentiasa mencari jalan yang terbaik untuk meningkatkan prestasi jentera mereka dalam perlumbaan

Jadi Lotus memutuskan untuk menguji enjin ini pada pertengahan tahun 1991 di Litar Silverstone selepas British Grand Prix. Bagi tujuan ini, Lotus terpaksa mengubahsuai jentera 102B yang pada asalnya memuatkan enjin Judd V8 dan jentera ini diberikan kod 102C.

Namun hasil ujian mendapati jentera 102C ini menghasilkan catatan masa terpantas 6 saat di belakang jentera McLaren yang menggunakan enjin Honda V12 dan dipandu oleh Ayrton Senna. Antara faktor yang menjadikan jentera 102C lambat ialah enjin P799WE tidak menggunakan alternator dan terpaksa bergantung pada bateri yang berat

Malah cesi 102C sebenarnya diubahsuai daripada cesi yang secara spesifiknya untuk memuatkan enjin Lamborghini V12 yang gagal beroperasi dengan cemerlang sehingga Lotus terpaksa menggunakan enjin V8 Judd.

Pada awalnya Peter Collins memuji usaha dan inisiatif yang dibuat oleh Isuzu memandangkan enjin ini berupaya menjana sehingga 730 kuasa kuda, lebih banyak daripada enjin V8 Judd yang hanya menghasilkan 660 kuasa kuda.

Namun Lotus memutuskan untuk tidak bereksperimen dengan enjin baru yang tidak pernah digunakan dalam perlumbaan selepas kegagalan enji V12 Lamborghini dan keputusan Lamborghini untuk menarik diri pada pertengahan musim perlumbaan

Walaupun jentera Lotus 102C lebih berkuasa dan mencatatkan masa 6 saat di belakang McLaren, enjin V8 Judd yang digunakan oleh Lotus 102B mencatatkan masa lebih pantas iaitu 2 saat lebih baik biarpun menjana hanya 660 kuasa kuda, faktor yang disumbangkan oleh enjin V8 dengan berat hanyalah 127kg sahaja.

Isuzu sebenarnya mungkin ada peluang yang baik untuk memperbaiki kelemahan enjin ini dan menjadikannya lebih baik, namun pada ketika itu pasukan Lotus berada dalam keadaan yang tenat dan perlumbaan terakhir Lotus ialah pada tahun 1994

Isuzu pula sebenarnya berdepan dengan cabaran yang lebih besar apabila Jepun mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk pada tahun 1991, maka program pembangunan yang mahal ini terpaksa dihentikan buat selama-lamanya

Namun pada akhirnya program pembangunan enjin V12 ini mencapai matlamat asalnya iaitu sebagai test bed bagi membuktikan yang Isuzu boleh menghasilkan enjin yang cukup bagus. Daripada 6 enjin yang telah dibina, hanya 1 enjin P799WE yang terselamat dan kekal di Muzium Isuzu di Isuzu Plaza.

Google ads
"
"
Back to top button