
KENAPA HAMMOND TOLAK TAWARAN BBC KEMBALI KE TOP GEAR???
Richard Hammond mendedahkan bahawa dia pernah dihubungi pihak BBC untuk kembali mengacarakan rancangan automotif Top Gear. Tetapi Hammond memilih untuk menolak peluang tersebut kerana merasakan Top Gear memerlukan pendekatan dan barisan pengacara yang lebih muda.
Pendedahan itu dibuat ketika Hammond ditemu bual oleh Times Radio susulan pengumuman Gordon Ramsay sebagai hos utama bagi musim baharu Top Gear. Menurut Hammond, pihak BBC ada menghubunginya untuk bertanyakan sama ada dia berminat untuk kembali menerajui rancangan berkenaan.
Hammond memberikan jawapan ringkas bahawa dia merasakan dirinya sudah terlalu berusia untuk mengambil semula tanggungjawab tersebut. Pada masa sama, dia berpendapat Top Gear memerlukan barisan pengacara baharu yang mampu membawa identiti tersendiri kepada rancangan itu.
Untuk rekod, Hammond merupakan antara individu yang membantu menjadikan Top Gear sebagai rancangan automotif bertaraf antarabangsa, mengacarakan program tersebut bersama Jeremy Clarkson dan James May dari tahun 2002 hingga 2015. Gabungan personaliti ketiga-tiga mereka menjadi antara faktor utama kejayaan Top Gear.
Clarkson terkenal dengan gaya penyampaian bersahaja dan provokatif, James May pula membawa pendekatan lebih teknikal dan bersahaja, manakala Hammond sering menjadi watak yang mencetuskan suasana lebih santai dan menghiburkan. Selepas Top Gear, ketiga-tiga mereka meneruskan kerjasama menerusi rancangan The Grand Tour yang disiarkan di Amazon Prime Video.
Hammond merasakan era Top Gear yang mereka bina sudah mempunyai tempat tersendiri dan tidak perlu dihidupkan semula dan turut menjelaskan bahawa tidak berminat untuk kembali sekadar mengulangi formula lama. Sebaliknya BBC perlu menghasilkan kandungan yang menggambarkan perkembangan industri automotif dan perubahan dunia pengangkutan semasa.

Hammond turut menyentuh mengenai masa depan rancangan tersebut dan berpendapat industri automotif kini sedang melalui perubahan besar, khususnya dengan perkembangan teknologi elektrifikasi dan kenderaan elektrik. Top Gear sepatutnya memainkan peranan untuk memberikan maklumat kepada pengguna bukannya bergantung kepada nostalgia zaman kegemilangannya.
Minggu lepas BBC mengesahkan Gordon Ramsay bakal menjadi pengacara utama bagi musim baharu Top Gear yang dijadualkan kembali pada 2028. Selain terkenal sebagai cef selebriti menerusi rancangan Hell’s Kitchen, dia juga merupakan peminat tegar kereta dan memiliki lesen perlumbaan dan pernah muncul sebagai tetamu dalam Top Gear sebanyak tiga kali sebelum ini.
Hammond sendiri tidak mempunyai keraguan terhadap minat Ramsay dalam dunia automotif. Malah, dia menyifatkan Ramsay sebagai seorang individu yang menghiburkan dan mempunyai kredibiliti sebagai peminat kereta.


