
WAKTU TUNGGU KERETA LEBIH 2 BULAN? INI PENJELASAN BOS PERODUA
Dalam sesi sidang media sewaktu majlis anjuran Perodua semalam, banyak persoalan yang ditanyakan pihak media. Antaranya mengenai tempoh menunggu yang lama bagi kereta keluaran Perodua.
Ketika ini, purata waktu menunggu bagi model Bezza, Myvi, Alza dan Aruz adalah sekitar sebulan hingga tiga bulan. Ketika sesi soal jawab bersama media, Dato’ Dr. Zahari Husin, Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd. memberitahu bahawa mereka menghadapi masalah stok.

“Buat masa ini, semua kereta produksi dihasilkan berdasarkan tempahan semasa dan stok simpanan tidak cukup. Kadar tempahan yang tinggi menyebabkan pelanggan menunggu terlalu lama untuk satu-satu model sehingga dua bulan atau lebih.
Ketika ini, purata tempoh menunggu hampir kesemua model Perodua adalah sekitar dua bulan dan hanya Axia sahaja yang mempunyai stok tersedia.
“Tapi, hanya untuk model G, bagi model spesifikasi tinggi, tempoh menunggunya masih lagi lama'” ujar beliau lagi.

Mengulas mengenai model yang ditunggu terlalu lama, Dato Dr Zahari menegaskan, meskipun Axia boleh dikatakan cepat untuk dihantar, tetapi bagi model spesifikasi tinggi masih sama dengan model-model lain.
Perodua sedang berusaha meningkatkan kapasiti pengeluaran ke tahap maksimum. Malah pada ketika ini, pengeluaran mereka pada paras 97%, yang boleh dikatakan sudah cukup tinggi untuk standard produksi kenderaan.
Perodua menjangkakan untuk meningkatkan stok simpanan mereka, justeru mensasarkan pengeluaran penuh sehingga 249,000 unit. sekurang-kurangnya 10,000 unit untuk stok menjelang akhir tahun nanti.
Tempoh menunggu untuk kereta-kereta mereka dijangka akan kembali normal pada tahun hadapan. Kadar menunggu lazim ialah sekitar satu hingga tiga minggu, bergantung kepada model dan Perodua sedang berusaha ke arah itu.