
WRC2 2025 – GILIRAN YOHAN ROSSEL PULA TERSAKITI MUSIM INI
Sesudah Oliver Solberg merasai kepahitan kegagalan merangkul tahta kejuaraan FIA World Rally Championship (WRC) bagi kategori WRC2 musim lalu, tahun ini giliran pemandu dari Perancis pula Yohan Rossel untuk merasai kekecewaan tersebut.
Untuk rekod, Yohan Rossel sebetulnya telah pun memulakan perlumbaan terakhir beliau untuk kutipan mata di Rally Chile Bio Bío dengan penuh semangat dan yakin untuk mengutip mata hanya kerana mengetahui bahawa keputusan yang cemerlang sahaja akan mengekalkan kedudukannya untuk bersaing dengan Oliver Solberg.

Yohan Rossel yang memulakan perlumbaan di kedudukan kedua di hadapan Oliver Solberg pada hari Jumaat perlumbaan dilihat berada diposisi yang baik untuk menyudahkan perlumbaan. Namun dalam rali semua kemungkinan boleh berlaku. Sehinggalah masalah kebocoran minyak yang tiba – tiba melanda Yohan Rossel yang memandu jentera Citroen C3 Rally2 dan telah menghentikannya selepas SS4.
Pun begitu ternyata Yohan Rossel kekal tenang tentang peristiwa yang menimpanya dan mengganggap ianya adalah sebahagian daripada asam garam perlumbaan rali walau pun beliau telah memberikan persembahan melebihi 100% cuma nasib tidak menyebelahinya.
Yang pasti, pengakhiran sebegini ternyata cukup pahit untuk ditelan buat Yohan Rossel sementelah musim ini dilihat suatu persembahan yang agak baik secara keseluruhan bersama jentera Citroen C3 Rally2.

Yohan Rossel memulakan kempen WRC2 musim ini dengan gaya dominan, memenangi Rallye Monte-Carlo untuk kali ketiga dalam WRC2 dan memimpin podium keluarga yang turut disertai adik lelaki Léo Rossel. Dan beliau terus mempamerkan rentak merentasi setiap permukaan dengan kemenangan di Kepulauan Canary, kedua di Portugal, ketiga di Greece, dan satu lagi naib juara di Paraguay.
Dikenali sebagai pemandu yang handal untuk permukaan asfal, ternyata musim ini juga menyaksikan Yohan Rossel semakin handal dengan permukaan yang lain sekali gus menyaksikan kehandalan juga untuk jentera Citroen C3 Rally2, walau pun ternyata hakikatnya jentera Toyota GR Yaris Rally2 ternyata lebih laju berbanding jentera lama miliknya.
Yang pasti musim hadapan Yohan Rossel tidak lagi akan memandu jentera Citroen C3 Rally2 setelah memandu jentera tersebut selama enam musim. Walau pun tiada lagi pengumuman rasmi, namun khabarnya Yohan Rossel akan terlibat dengan aktiviti bersama jenama Lancia yang pastinya akan kembali ke pentas utama bermula tahun 2027 nanti.
Kredit Foto : WRC
BACA : WRC2 2025 – YOHAN ROSSEL MENDAHULUI SENARAI PEMANDU SETELAH MENANG DI RALLY ISLAS CANARIAS