
XPENG X9 RASMI DILANCARKAN. 3 VARIAN, JARAK SEHINGGA 590KM, BERMULA RM270K
Bermaz Xpeng Sdn. Bhd., pengedar tunggal kenderaan jenama XPENG di Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi model MPV mewah tujuh tempat duduk, XPENG X9 ke pasaran tempatan.
Sudah dibuka untuk tempahan, X9 hadir dalam tiga varian pada harga seperti berikut:
- XPENG X9 Standard Range 2WD Pro – RM269,888
- XPENG X9 Long Range 2WD Pro – RM287,888
- XPENG X9 Long Range 2WD Pro Plus – RM299,888
MPV itu menggabungkan inovasi terkini dari segi rekaan luaran, ciri-ciri pintar, ruang dalaman luas, pengendalian dinamik dan keselamatan.

Luaran
Rekaan luaran X9 diserlahkan dengan fascia hadapan “Robot Face” bersama lampu nyalaan siang LED yang diposisikan secara melintang. dan Gril besar itu juga dilengkapi sistem Active Grille Shutter (AGS) yang berfungsi meningkatkan aerodinamik agar lebih efisien.
Penampilan X9 ditingkatkan lagi menerusi kerangka “Starship” dengan siluet garis badan yang elegan, rekaan bumbung terapung dan cermin tingkap yang besar. Bahagian belakang pula nampak futuristik dengan cermin bersudut 23˚ seperti sebuah coupe dan bar lampu LED.

Dalaman
Ruang dalaman X9 menggabungkan elemen mewah dan teknologi termaju yang diinspirasikan daripada kokpit kapal angkasa. Papan pemuka dan konsol tengah yang tampil ringkas itu memberikan rasa mewah, minimalis serta estetik dengan material seperti venir kayu dan corong pendingin hawa aluminium.
Semua kawalan seperti sistem hiburan, tetapan kenderaan dan sebagainya boleh dibuat menggunakan skrin infohibur bersaiz 21.4 inci. Anda juga boleh mengubah lampu ambien, manakala sistem penyegaran udara dan 23 unit pembesar suara X-Opera memberikan kualiti bunyi seperti berada dalam sebuah konsert.

Direka untuk memenuhi keperluan individu dan keluarga, konfigurasi X9 boleh diubah daripada tujuh kepada empat tempat duduk. Dengan hanya satu klik, tempat duduk belakang boleh dilipat secara elektrik. Ia juga menawarkan ruang kargo daripada 755 liter menjadi 2,554 liter!
Tempat duduk berteknologi sifar gravity yang ergonomik, kerusi baris ketiga boleh laras secara elektrik dengan fungsi urutan menjanjikan keselesaan maksimum. Peti sejuk kecil pula memberi kelebihan apabila perlu menempuh perjalanan yang panjang.

Bateri, kuasa dan jarak
Dibangunkan di atas platform SEPA 2.0, MPV itu hadir dengan ciri 800V high-voltage silicon carbide (SiC) untuk pengecasan pantas.
Varian Standard Range 2WD Pro dipasang dengan bateri 84.5 kWh LFP berkuasa 315hp dan tork 450Nm yang mampu menawarkan jarak sehingga 500km (WLTP). Sementara varian Long Range dibekalkan dengan bateri 101.5 kWh berkuasa sama, tetapi jaraknya mampu mencecah 590km.
Dengan teknologi pengurusan thermal dan pengoptimuman tenaga, X9 mampu menyokong pengcasan pantas DC sehingga 317kW. Jadi, cas dari 10 ke 80 peratus boleh dibuat dalam masa 20 minit sahaja.
Ia juga menjadi MPV EV tujuh tempat duduk pertama menggunakan struktur badan aluminium die-cast yang lebih selamat dan tahan lasak.

Pengendalian terbaik
X9 hadir dengan sistem stereng roda belakang yang dipadankan bersama suspensi udara dual-chamber pintar yang menawarkan diameter pusingan sehingga 5.4 meter. Ini membolehkan X9 melalui ruang sempit dan membuat pusingan U dengan mudah seperti sebuah kenderaan yang lebih kecil.
Sistem suspensi itu juga akan mengubah suai kekerasan spring secara automatik berdasarkan kepada kondisi jalan untuk pengalaman pemanduan yang selesa sepanjang masa.

Keselamatan
Aspek keselamatan dipertingkatkan menerusi rangkaian sistem XPILOT 2.5. Ini merangkumi enam beg udara dan electronic child lock sebagai ciri standard. Di samping sistem bantuan pemandu pintar menggunakan radar berdefinisi tinggi, sensor ultrasonik dan kamera HD 360˚ yang dikuasakan oleh chipset Nvidia Orin-X.
Ciri-ciri keselamatan lain termasuklah Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Stop & Go, Lane Centering Control (LCC), Adaptive Turning Cruise (ATC), Intelligent Speed Limit Assist (SAS) dan Active Lane Change (ALC).
Tidak ketinggalan, ciri Forward Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB), Blind-Spot Detection (BSD), Lane Keeping Assist (LKA), Rear Cross-Traffic Alert (RCTA) dan banyak lagi.
Untuk memudahkan urusan parkir, X9 dilengkapi ciri Enhanced Auto Parking Assist (EAP 2.0), Auto Exit Parking Assist (AEP) dan Straight Summon yang boleh diakses melalui aplikasi mudah alih XPENG.

Pilihan warna, upholsteri & jaminan
X9 yang merupakan unit CBU dari China ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu putih, perak dan hitam. Manakala warna untuk ruang kabin iaitu hitam atau coklat pula bergantung kepada varian yang dipilih.
Varian Standard Range 2WD Pro dan Long Range 2WD Pro didatangkan dengan upholsteri leatherette. Sementara tempat duduk pada varian Long Range 2WD Pro Plus dibalut dengan kulit Nappa.
Demi memberi ketenangan minda kepada pelanggan, X9 hadir dengan jaminan selama 5 tahun dan perbatuan sejauh 120,000km (mana-mana tiba dahulu). Di samping servis percuma selama 5 tahun dan perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu). Jaminan pek bateri bervoltan tinggi pula adalah selama 8 tahun dengan perbatuan dihadkan sehingga 160,000km.
- BACA: XPENG PERKENALKAN SUV BAHARU, G7 -ANGGARAN HARGA RM127K
- BACA: XPENG G6 – PILIHAN LEBIH BAGUS, LEBIH MURAH, LEBIH CANGGIH?
- BACA: XPENG AEROHT PERKENALKAN KERETA TERBANG MODULAR – HARGA RM1.22 JUTA, DEBUT NOVEMBER INI
- BACA: PESAING TESLA MODEL 3, XPENG MONA M03 DILANCARKAN DI CHINA – TIGA VARIAN, HARGA BERMULA RM72K
GALERI














