Pandu Uji

XPENG G6 – PILIHAN LEBIH BAGUS, LEBIH MURAH, LEBIH CANGGIH?

Pertama kali penulis mendengar jenama Xpeng ialah 2 tahun lepas ketika secara tidak sengaja melintasi pusat jualan jenama kenderaan Xpeng di China. Berbeza dengan jenama legasi kereta buatan China yang lain, Xpeng adalah satu jenama yang agak baru berada di pasaran China.

Xpeng ditubuhkan oleh Henry Xia iaitu seorang usahawan yang bergabung tenaga dengan He Tao (bekas pengarah eksekutif GAC) dan Lei Jun (pengasas Xiaomi) untuk menghasilkan kereta elekktrik.

Antara model pertama Xpeng ialah G3 yang dihasilkan pada tahun 2018 dalam kategori SUV kompak. Namun dengan perkembangan teknologi semasa dan persaingan daripada jenama lain, Xpeng telah membangunkan SUV Xpeng dengan harga pasaran dalam negara sekitar RM185,820.

Dari segi rekaan luaran, hampir semua rekaan kereta elektrik daripada China menggunakan konsep futuristik, sporty dan minimalis. Jika melihat kereta elektrik buatan China, anda akan menemui kereta yang menggunakan ciri rekaan yang hampir sama antara satu sama lain.

Sebagai contoh Xpeng G6 menggunakan rekaan bumbung sporti fastback, pintu tanpa rangka sisi ala-ala kereta sport, lampu depan serta belakang yang minima seperti Porsche. Bampar depan tanpa jeriji kelihatan agak kosong dan hanya diserikan dengan sepasang lampu utama berbentuk anak panah.

Bahagian sisi Xpeng G6 menggunakan rekaan yang digunakan oleh Mazda, tanpa menggunakan garis lurus yang nyata dan disudahkan dengan warna Fiery Orange. Untuk pasaran dalam negara, Xpeng G6 menggunakan tayar berkualiti tinggi Michelin Pilot Sport EV.

Xpeng menggunakan platform rekaan mereka sendiri yang dinamakan sebagai SEPA (Smart Electric Platform Architecture) terbaru. Xpeng juga telah menandatangani perjanjian dengan Volkswagen bagi pembangunan bersama kereta elektrik dengan platform yang sama.

Ini adalah platform dengan rekaan sistem elektrik 800volt terkini yang mampu memberikan ketegaran lebih baik setinggi 41,600Nm/darjah. Platform yang digunakan oleh model G6 adalah lebih selamat, ringan dan datang dengan sistem pengecasan lebih baik berbanding model G3.

Bagi varian 755 Pro, ia datang dengan bateri NMC berkapasiti 87.5kWh dan jarak pemanduan mencapai 570km mengikut standard WLTP. Bateri itu boleh dicaj dalam masa 9.5 jam dari 0% ke 100% atau mengambil masa 20 minit sahaja dengan sistem pengecasan DC 280kW dari 10% ke 80%.

Sama seperti pesaing yang lain, ia menggunakan sistem Double Wishbone pada roda depan dan Multi-Link pada roda belakang dengan berat keseluruhan kenderaan mencecah 2,025kg sahaja. Bagi penulis, penggunaan sistem penyerap hentak pasif masih lagi OK asalkan berat kenderaan adalah sekitar 2,000kg.

Rekaan dalam terutama papan pemuka seakan-akan sama dengan model Tesla. Misalnya penggunaan skrin bersaiz 15 inci untuk mengawal semua sistem, rekaan papan pemuka yang minima serta tiada glovebox, selain ruang penyimpanan barang pada bahagian tengah yang besar.

Walaupun masih diberikan tuil lampu isyarat, anda tidak boleh mengawal corong penyaman udara, manakala pintu boleh dikawal dengan menggunakan butang. Semuanya perlu dikawal dengan menggunakan skrin sentuh dan terasa agak mengganggu ketika memandu.

Kabin dan ruang pemandu bagaimanapun masih dipenuhi dengan pelbagai ciri moden seperti kusyen depan dengan ciri sejukan, tombol gear di belakang stering, sistem pengecas tanpa wayar dengan ciri sejukan dan 18 pembesar suara dari jenama Xpeng Xopera yang menjana sehingga 960watt.

Operasi skrin adalah lancar dan sistem operasinya sangat senang digunakan. Xpeng menggunakan sistem pengoperasian Xmart OS yang disokong oleh sistem pemprosesan Qualcomm Snapdragon bagi memastikan semua sistem yang ada pada Xpeng beroperasi dengan sempurna.

Untuk pasaran Malaysia, Xpeng G6 turut diberikan bumbung kaca suria. Sebelum anda merungut, penulis telahpun menguji bumbung kaca suria ini dengan tidur di dalam kereta pada waktu tengahari. Ia mampu menahan sinaran terik matahari dengan bagus sekali, hanya bahang panas dari cermin depan sahaja yang agak terasa.

Sudut penyandar kusyen belakang boleh dilaras bagi memberikan perjalanan yang lebih selesa. Ia juga boleh dilipat terus bagi meluaskan ruang kargo daripada 570 liter menjadi 1374 liter dengan senang.

Bagi varian Xpeng G6 755 Pro, ia dibekalkan dengan satu motor elektrik yang menjana sehingga 282 kuasa kuda dan 440Nm tork. Pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 6.6 saat, manakala halaju tertinggi dihadkan kepada 200km/jam.

Berikut ialah pemerhatian penulis sepanjang seso pandu uji singkat kereta elektrik ini:

1. Xpeng G6 memiliki kecekapan penggunaan yang sangat bagus dengan purata penggunaan tenaga sekitar 15Wh/100km atau 6.67km bagi setiap 1kWh. Secara teori, bateri 87.5kWh membolehkan Xpeng dipandu sejauh 583km untuk satu pengecasan penuh.

2. Xpeng G6 hanyalah seberat 2025kg. Berdasarkan pengalaman penulis, ini adalah angka yang munasabah dan ringan. Jadi walaupun menggunakan sistem penyerap hentak pasif, keselesaan penumpang adalah baik.

Walaubagaimanapun, tetapan spring dan penyerap hentak dibuat untuk memenuhi keselesaan dan mampu menyerap segala kecacatan permukaan jalan dengan baik. Tetapi dari segi dinamik pengendalian, Xpeng G6 kurang memuaskan walaupun dalam mode Sport.

3. Rekaan stereng 2 spoke nampak terlalu ringkas bagi pendapat penulis dan respons terhadap input yang diberikan adalah OK. Namun hubungan mekanikal di antara stering dan roda depan adalah terlalu ringan, bagus untuk pemanduan di bandar namun jika anda suka memandu laju anda tidak akan suka kepada stering yang ringan.

4. Tiada ciri paddleshifter ditawarkan, namun anda boleh menetapkan kekuatan brek regeneratif pada 4 tahap. Xpeng juga menawarkan ciri Single Pedal Driving bagi mendapatkan kecekapan tenaga yang lebih baik.

5. Terdapat butang fizikal pada roda stereng seperti butang kawalan pembesar suara dan sistem audio. Butang ini akan bertindak menjadi butang bagi mengawal ciri lain seperti melaras sudut pandangan cermin sisi.

Skrin pula menawarkan ciri butang sentuh dengan beberapa ciri utama boleh diletakkan di hadapan skrin untuk diakses pada bila-bila masa. Anda juga boleh mengubahsuai semua ciri ini untuk kegunaan peribadi.

6. Kualiti bunyi yang dihasilkan daripada 18 pembesar suara XOpera boleh dipuji dan setara dengan kualiti bunyi yang dihasilkan daripada pembesar suara Harman Kardon.

7. Sistem keselamatan aktif yang digunakan pada Xpeng G6 juga sangat bagus dengan sistem penderia boleh mengesan objek seperti motosikal, membezakan antara sedan dan SUV serta lori.

Sistem keselamatan aktif ini dipacu oleh cip pemprosesan NVIDIA Orin X yang mengawal 5 radar definasi tinggi, 12 penderia Ultrasonic dan 12 kamera resolusi tinggi. Bumbung Xpeng G6 boleh menahan beban 5 kali ganda dari berat kenderaan serta semua penumpang dilingungi oleh 7 beg udara.

Sistem ini juga membenarkan Xpeng G6 untuk diparkir secara automatik, dikawal secara automatik dalam mode Summon dan Remote Parking. Cuma disebabkan waktu yang singkat, kami tidak sempat untuk mencuba ciri Remote Parking ini.

Secara keseluruhan Xpeng G6 pada harga RM 185,820 ini adalah sebuah SUV elektrik moden yang sangat berbaloi dengan semua ciri yang ditawarkan, cekap tenaga dan datang dengan semua ciri keselamatan moden.

Tambah lagi menarik Xpeng G6 diberikan 3 tahun servis percuma oleh Bermaz Auto, bersama jaminan 5 tahun untuk keseluruhan kenderaan serta 8 tahun jaminan untuk bateri dan motor elektrik.

Google ads
Back to top button