Buletin

PESAING TESLA MODEL 3, XPENG MONA M03 DILANCARKAN DI CHINA – TIGA VARIAN, HARGA BERMULA RM72K

Xpeng telah melancarkan sedan elektrik terbaru mereka, Mona M03, tersedia dalam tiga varian dengan harga antara AS$16,800 – 21,850 (RM72,998 – RM94,939).

Berikut adalah tiga varian Mona M03:

  • 515 long battery life: AS$16,800 (RM72,998)
  • 620 long battery life: AS$18,200 (RM79,081)
  • 580 Max: AS$21,850 (RM94,939)

Xpeng mengumumkan bahawa Mona M03 telah menerima lebih daripada 10,000 pesanan dalam masa 52 minit selepas pelancaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Xpeng, He Xiaopeng, menyatakan bahawa nama Mona “M03” dipilih sebagai penghormatan kepada Tesla Model 3.

Namun, penghantaran untuk versi Max M03 hanya akan bermula selepas Tahun Baru Cina pada 2025, sementara penghantaran dua varian lain dimulakan pada bulan September.

Mona M03 mempunyai dimensi 4,780, 1,896, dan 1,445mm, dengan jarak roda 2,815mm, menjadikannya sedikit lebih besar daripada Model 3.

Dari segi reka bentuk dalaman, Mona M03 tampil dengan susun atur minimalis seperti Tesla Model 3, tanpa panel instrumen dan paparan head-up.

Sebaliknya, semua maklumat dipaparkan pada skrin infotainment 15.6-inci yang dipasang di tengah, dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8155 dengan RAM 16GB.

Sistem ini turut menyokong imej panorama 360 darjah dan peta persepsi 3D yang dihasilkan dalam masa nyata.

Berbeza dengan Tesla, Xpeng menawarkan banyak pilihan tambahan seperti panel instrumen yang boleh dipasang dengan harga AS$84 (RM364), alat penyegar udara serta bantal lembut (boleh disesuaikan untuk sokongan pinggang dan kepala).

Mona M03 hampir tiada butang fizikal, dan kereta ini boleh dikawal menggunakan isyarat serta kawalan suara – boleh digunakan secara bebas untuk mengawal barisan depan dan belakang.

Mona M03 juga dilengkapi dengan sistem pembesar suara 18 PSS canggih dan bunyi panoramik Compose 7.1.4.

Sebagai standard, kereta ini dilengkapi dengan bumbung panorama 1.22 meter persegi yang menggunakan low-E laminated glass, memberikan perlindungan 99.9 peratus terhadap sinar ultraviolet dan 97.6 peratus terhadap sinar inframerah.

Mona M03 mempunyai ruang but dengan kapasiti 621 liter yang boleh diperluas hingga 1602 liter dengan kerusi belakang dilipat 4:6.

Dari segi kuasa, varian 515 long battery life menggunakan motor 140kW yang kurang berkuasa, manakala kedua-dua varian lain dijana oleh motor 160kW.

Untuk rekod, semua varian menggunakan bateri bilah fosfat besi lithium dari anak syarikat BYD, FinDreams.

Sebagai standard, Xpeng Mona M03 dilengkapi dengan radar panjang gelombang 2mm, 12 sensor ultrasonik, dan 7 kamera yang menawarkan keupayaan pemanduan pintar L2.

Sementara, bagi varian Max, yang akan dilancarkan selepas Tahun Baru Cina 2025, bakal mempunyai keupayaan pemanduan pintar jauh lebih tinggi, dan Xpeng mendakwa ia akan menjadi produk dengan keupayaan pemanduan pintar terbaik dalam julat harga AS$28,100 (RM122,101).

GALERI:

Google ads
Back to top button