Buletin

BOSCH LANCAR ‘BOSCH LONG LIFE OAT COOLANT’ UNTUK PASARAN TEMPATAN

Bosch Mobility Aftermarket (MA) melancarkan produk terbaharu mereka, Bosch Long Life OAT Coolant, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di ASEAN yang menerima inovasi ini.

Pelancaran tersebut menandakan satu pencapaian penting selepas syarikat itu memperluas rangkaian lapan produk inovatif awal tahun ini.

Formulasi pendingin baharu ini menggunakan gabungan Monoethylene Glycol (MEG) dengan teknologi Asid Organik (OAT) yang direka untuk ketahanan jangka panjang.

Ia berfungsi melindungi enjin daripada risiko panas melampau dengan menahan titik didih yang tinggi, sekali gus mengurangkan kemungkinan enjin mengalami overheating.

Selain itu, Long Life OAT Coolant dilengkapi ciri anti-karat yang menghalang pembentukan karat, kerak dan mendapan lain, menjadikan sistem penyejukan lebih bersih serta mengekalkan suhu enjin yang stabil.

Produk ini juga diformulasikan khusus untuk keadaan cuaca di rantau ASEAN termasuk Malaysia, serta sesuai digunakan dengan pelbagai jenis logam, plastik dan getah.

Kualiti produk ini diiktiraf mengikut piawaian antarabangsa seperti GB/T 29743 (China), ASTM D3306 (Amerika Syarikat), BS 6805 (United Kingdom) dan JIS K2234 (Jepun).

Pendingin enjin ini melengkapkan rangkaian produk Bosch yang diperkenalkan pada Februari lalu, termasuk pengelap cermin ClearAdvantage TL, bateri EFB (M42R), pengecas bateri C70B, palam pencucuh EVO, rangkaian minyak enjin terkini, pad brek seramik, cakera brek kompaun dan bendalir brek ENV6.

Dipasarkan dalam botol 2 liter dengan pilihan tiga warna – merah, hijau dan biru, pendingin ini boleh disesuaikan dengan spesifikasi berbeza kenderaan.

Maklumat lanjut mengenai produk boleh didapati melalui laman rasmi Bosch Aftermarket atau kedai dalam talian Bosch Automotive di Shopee, selain rujukan lokasi pengedar melalui portal Extra Malaysia.

Google ads
Back to top button