
BOSCH PERKENAL ‘BOSCH LONG LIFE OAT COOLANT’ PERTAMA DI MALAYSIA
Bosch Mobility Aftermarket (MA) melakar sejarah baharu dengan memperkenalkan Bosch Long Life OAT Coolant buat julung kali di Malaysia.
Dengan pelancaran ini, Malaysia menjadi pasaran pertama di rantau ASEAN menerima produk inovatif berkenaan.
Pendingin enjin ini dibangunkan berasaskan formula Monoethylene Glycol (MEG) dan teknologi Organic Acid Technology (OAT), yang menawarkan jangka hayat lebih panjang berbanding produk biasa.
Menurutnya, ia direka khusus untuk memberikan perlindungan tambahan terhadap suhu ekstrem, sekali gus membantu mengelakkan enjin daripada terlalu panas.
Selain itu, Long Life OAT Coolant mempunyai ciri anti-karat yang berkesan, menghalang pembentukan karat, keladak dan deposit lain yang boleh menjejaskan sistem penyejukan.
Dengan sistem lebih bersih dan suhu enjin yang stabil, prestasi kenderaan dapat dikekalkan pada tahap optimum.
Mengambil kira faktor iklim di Malaysia dan ASEAN, formula ini turut serasi dengan pelbagai jenis bahan termasuk logam, plastik dan getah. Ia juga menepati piawaian antarabangsa seperti GB/T 29743 (China), ASTM D3306 (Amerika Syarikat), BS 6805 (United Kingdom) dan JIS K2234 (Jepun).
Produk baharu ini melengkapkan rangkaian lapan inovasi lain yang telah diperkenalkan pada Februari 2025, antaranya ClearAdvantage TL Wiper, bateri EFB (M42R), pengecas bateri C70B, palam pencucuh EVO, minyak enjin keluaran terkini, pad brek seramik, cakera brek kompaun dan cecair brek ENV6.
Ditawarkan dalam botol 2 liter, Bosch Long Life OAT Coolant hadir dalam tiga pilihan warna – merah, hijau dan biru – bagi memenuhi keperluan spesifikasi kenderaan berbeza.


