Buletin

BUAT KERJA SAMBIL LEWA, PEKERJA PEMBERSIHAN TREN RAPID KL KENA TINDAKAN TATA TERTIB

Baru-baru ini, tular satu klip video yang menunjukkan dua orang operator pembersihan tren Rapid KL melakukan tugas sanitasi secara sambil lewa di laman Twitter.

Klip video berdurasi 7 saat itu memperlihatkan pekerja wanita terbabit melakukan tugas itu secara ala kadar selain tidak mengelap keseluruhan permukaan seperti bahagian pemegang tangan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Berikutan itu, Rapid KL dalam satu kenyataan di laman Facebook mengakui kesilapan itu dan memohon maaf kepada semua penumpang atas kegelisahan, kebimbangan dan kemarahan yang timbul akibat penyebaran video berkenaan.

“Dalam video tersebut, ejen pembersih kami dilihat menjalankan tugas pembersihan ketika tren kami tiba di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang yang merupakan stesen terakhir Laluan LRT Ampang dan Sri Petaling.

“Namun video tersebut menunjukkan tugas pembersihan dilakukan dengan tergesa-gesa serta tidak memuaskan mengikut peraturan pencegahan Covid-19 yang ditetapkan Rapid KL,” katanya.

Rapid KL memberitahu pihaknya telah mengambil tindakan pantas dengan menegur pihak vendor terlibat. Selain  membincangkan tindakan untuk memastikan perkara itu tidak berulang pada masa akan datang.

Sementara itu, syarikat kontraktor pembersihan RnD Resources Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan akhbar berkata, tindakan tata tertib telah diambil ke atas kakitangan terbabit.

“Pihak kami memohon maaf kepada pengguna LRT Laluan Ampang dan Rapid KL atas kekhilafan kakitangan pembersihan kami dalam melaksanakan kerja-kerja sanitasi tren.

“Kami memandang serius serta amat kesal dengan kejadian tersebut. Mereka akan diberi latihan semula dengan selengkapnya sebelum dibenarkan bertugas seperti biasa,” katanya. – K! ONLINE

Google ads
Back to top button