Buletin

BAS MINI AKAN KEMBALI KE KUALA LUMPUR! TEMPOH PERCUBAAN BERMULA 1 SEPTEMBER 2019

Mulai bulan depan, perkhidmatan bas mini akan diperkenalkan semula di Kuala Lumpur, selepas ditamatkan hampir 21 tahun lalu.  

Dikendalikan oleh Rapid KL, perkhidmatan percubaan bas mini itu akan dilakukan dari hab Bukit Indah ke Ampang Point melalui Jalan Rasmi bermula 1 September hingga 29 November. 

Bas mini yang mampu membawa sehingga 31 orang penumpang tersebut bakal beroperasi dengan kekerapan 15 minit pada waktu puncak dan setiap 25 minit pada luar waktu puncak, bermula 5.30 pagi hingga 11.40 malam. 

Menurut Ketua Pegawai Ekskutif Rapid Bus Sdn. Bhd., Muhammad Yazurin Sallij, pengenalan bas mini itu merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya untuk memberi perkhidmatan lebih baik dan kerap kepada para pengguna. 

Tempoh percubaan itu membolehkan Rapid Bus mengetahui kesesuaian penggunaan bas mini di kawasan kejiranan, terutama di jalan-jalan sempit. Menerusi maklum balas yang diterima daripada penumpang, Rapid Bus juga akan dapat mengetahui gambaran sebenar pengalaman menaiki bas berkenaan. 

Sekitar tahun 1970-an hingga 1990-an, bas mini adalah pemandangan biasa di Kuala Lumpur. Sentiasa sesak dengan penumpang, bas mini menjadi pengangkutan awam pilihan kerana tambangnya yang cukup murah ketika itu. 

Perkhidmatan itu bagaimanapun ditamatkan pada tahun 1998 apabila pihak berkuasa menggabungkan mode pengangkutan awam di ibu negara. 

Jika mendapat permintaan menggalakkan dalam tempoh percubaan, Rapid Bus akan menimbang untuk mengekalkan perkhidmatan di laluan tersebut dan mungkin diperluaskan ke kawasan lain pula. 

Anda boleh memberi maklum balas mengenai perkhidmatan bas mini ini dengan menghantar e-mel ke [email protected] atau hubungi Rapid KL Helpline di talian 03-7885 2585.   

Mazda CX30

   

Tags
Google ads
Back to top button