Buletin

BYD ATTO 1 KINI ‘MODEL SEJUTA UMAT’ DI INDONESIA – MODEL PALING LARIS OKTOBER 2025, KETEPIKAN TOYOTA INNOVA

Hanya beberapa bulan selepas pelancarannya di Indonesia pada Julai 2025, BYD Atto 1 telah mencatat kejayaan cemerlang sebagai kenderaan elektrik (EV) paling laris di pasaran negara itu.

Data dari Gabungan Industri Kendaraan Bermotor Indonesia (Gaikindo) menunjukkan model hatchback kelas A ini terjual 9,396 unit pada Oktober 2025, menyingkirkan Toyota Innova yang biasanya menduduki tangga teratas.

Innova pula mencatat jumlah jualan sebanyak 4,913 unit, termasuk 2,748 unit Innova Zenix dan 2,165 unit model lama.

Perlu diingat bahawa angka jualan ini berdasarkan jumlah kenderaan yang dihantar ke pengedar, bukan unit yang benar-benar dibeli pelanggan.

Bulan Oktober juga menandakan kali pertama BYD Atto 1 sampai ke tangan pembeli di Indonesia, hasil tempahan pelanggan selama beberapa bulan sebelumnya.

Menariknya, tiada model EV lain yang berjaya menembusi 10 teratas kenderaan paling laris, dan tiada jenama automotif dari China yang tersenarai dalam 20 teratas.

Secara keseluruhan, pasaran kereta Indonesia pada Oktober 2025 mencatat jualan 74,019 unit, turun 4.4% berbanding 77,404 unit pada Oktober 2024, namun meningkat 19.2% berbanding September 2025.

Di pasaran Indonesia, BYD Atto 1 dikenali sebagai Seagull di China dan Dolphin Surf di Eropah. Ia direka khusus untuk pengguna muda bandar, dengan dimensi 3,925mm panjang, 1,720mm lebar dan 1,590mm tinggi, serta jarak roda 2,500mm.

Interiornya menampilkan kerusi kulit sporty yang membalut badan, walaupun kerusi hadapan hanya boleh dilaras secara manual enam arah. Sistem hiburan 10.1-inci menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, manakala papan pemuka digital 7-inci memaparkan info penting pemandu.

Konsol tengah menyerupai reka bentuk BYD Dolphin, lengkap dengan brek tangan elektronik, Auto Hold, dan pengecasan tanpa wayar 15W. Sistem kawalan suara juga membolehkan pemandu dan penumpang mengawal muzik, pendingin hawa, dan volume dalam bahasa Indonesia atau Inggeris.

Dari segi keselamatan, BYD Atto 1 menonjol dalam segmennya dengan brek cakera pada keempat-empat roda, 6 beg udara, ESC, ABS, TCS, bantuan mendaki bukit, 3 sensor belakang, kamera belakang, serta titik pemasangan kerusi kanak-kanak.

Prestasi motor elektriknya menawarkan 75hp dan tork maksimum 135Nm, dengan pecutan 0–50km/j dalam 4.9 saat dan kelajuan maksimum 130 km/j. Pilihan bateri Blade Battery 30.08kWh atau 38.88kWh memberikan jarak pemanduan 300km hingga 380km.

Reka bentuk luaran menampilkan lampu depan LED automatik dengan DRL berbentuk diagonal, bampar depan hitam yang dinamik, lampu belakang dan lampu kabus LED, rim aloi 16-inci, cermin sisi berkuasa, antena sirip yu, pilar C corak berlian, dan ruang bagasi elektrik.

Harga BYD Atto 1 di Indonesia antara 195–235 juta Rupiah (sekitar RM308,000–RM371,000).

Google ads
Back to top button