
PASARAN AUTOMOTIF MALAYSIA KIAN HAMPIRI DOMINASI INDONESIA
Kedudukan Indonesia sebagai pasaran automotif terbesar di ASEAN kini semakin goyah apabila jualan kenderaan di Malaysia kembali melonjak, malah berjaya mengatasi negara jiran itu pada Ogos 2025.
Berdasarkan data terkini Persatuan Automotif Malaysia (MAA), sebanyak 73,041 unit kenderaan terjual di Malaysia pada bulan tersebut, meninggalkan angka penjualan runcit Indonesia yang hanya mencatat 66,478 unit.
Sepanjang lapan bulan pertama 2025, jualan kenderaan di Malaysia sudah mencecah 516,862 unit, hanya ketinggalan sedikit berbanding Indonesia dengan 522,162 unit.
Jurang tipis sekitar 5,300 unit ini dilihat sebagai petanda bahawa Malaysia berpotensi memintas Indonesia dalam masa terdekat.

Menariknya, pencapaian ini berlaku walaupun populasi Malaysia jauh lebih kecil iaitu sekitar 34 juta orang berbanding lebih 280 juta di Indonesia. Tahun lalu sahaja, pasaran automotif Malaysia menutup 2024 dengan rekod 816,747 unit, menunjukkan permintaan yang kukuh.
Penganalisis pasaran melihat kejayaan Malaysia ini banyak didorong oleh dasar kerajaan yang konsisten mengekalkan insentif cukai sejak era pandemik Covid-19. Langkah tersebut merangsang keyakinan pembeli serta menggalakkan pemilikan kenderaan baharu.
Di pihak Indonesia pula, Gabungan Industri Kendaraan Bermotor Indonesia (Gaikindo) mengakui kelemahan dasar insentif mereka.
Wakilnya, Kukuh Kumara berkata, Malaysia lebih awal melaksanakan potongan cukai dan masih mengekalkannya hingga kini, sekali gus menjadikan pasaran lebih rancak.
Walau bagaimanapun, Indonesia masih menjadi pasaran automotif terbesar di rantau ini dari segi jumlah keseluruhan.
Namun, dengan trend semasa dan daya beli rakyat Malaysia yang terus meningkat, tidak mustahil Malaysia bakal muncul sebagai pesaing utama dalam merebut takhta pasaran automotif ASEAN.
- BACA: CERMIN TESLA KENA PECAH, WANG TUNAI RM100,000 LESAP
- BACA: CHERY TIGGO 8 SERBA BAHARU DILANCARKAN SUKU KEEMPAT 2025 – DIMENSI LEBIH BESAR, DUA REKAAN BAHAGIAN DEPAN
- BACA: MITSUBISHI MOTORS MALAYSIA LANTIK TAKASHI SAKAMAKI SEBAGAI CEO BAHARU
- BACA: WARD 10 BEST ENGINE SEDIH – 1 ENJIN SAJA MENANG. YANG LAIN SEMUA EV









