Buletin

PASARAN AUTOMOTIF INDONESIA GOYANG, PELABUR SIAP SEDIA LARI

Pasaran automotif Indonesia kini berdepan cabaran besar apabila prestasi jualan kenderaan menunjukkan trend menurun sejak kebelakangan ini.

Malah, beberapa penganalisis menjangkakan sasaran Gabungan Industri Kendaraan Bermotor Indonesia (Gaikindo) sebanyak 850,000 unit bagi tahun ini mungkin sukar dicapai.

Pada Ogos 2025, Malaysia berjaya mengatasi jualan runcit Indonesia, dengan 73,041 unit berbanding 66,478 unit di pasaran Indonesia.

Walaupun secara keseluruhan jumlah jualan kenderaan di Indonesia masih mendahului rantau Asia Tenggara, perbezaan angka ini dianggap sebagai isyarat awal yang perlu diberi perhatian serius.

Menurut Wakil Presiden Direktur PT Toyota Motor Manufacturing Indonesia, Bob Azam, kedudukan Indonesia sebagai pasaran automotif terbesar ASEAN perlu dikekalkan kerana ia menjadi penentu keyakinan pelabur luar.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Indonesia berjaya menarik minat pelabur, terutamanya dari China, melalui pelbagai insentif kerajaan termasuk galakan bagi kenderaan elektrik (EV).

Langkah itu terbukti membantu melonjakkan jualan model EV buatan China di pasaran tempatan.

Namun, Bob menegaskan bahawa dasar insentif perlu diteruskan dan disusun secara strategik agar mampu merangsang sektor automotif tanpa membebankan kewangan negara.

“Insentif harus diberi kepada sektor yang boleh menjana pulangan lebih tinggi berbanding jumlah bantuan diberikan,” jelasnya lagi.

Berdasarkan laporan terkini, jualan kenderaan di Indonesia bagi September 2025 terus merosot, dengan hanya 62,723 unit direkodkan – penurunan sebanyak 4.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Toyota kekal sebagai peneraju dengan 20,733 unit, diikuti Daihatsu (11,390 unit) dan Suzuki (5,477 unit).

Secara keseluruhan, dari Januari hingga September 2025, jumlah jualan kenderaan baharu di Indonesia mencecah 585,917 unit. Namun, masih terdapat jurang sekitar 200,000 unit untuk mencapai sasaran tahunan Gaikindo.

Jika trend penurunan ini berterusan, kedudukan Indonesia sebagai pusat automotif utama Asia Tenggara berisiko tergugat.

Google ads
Back to top button