Buletin

DAIHATSU TAFT FACELIFT 2026 DIPERKENALKAN DI JEPUN – LEBIH RANGGI, JANA 63HP, HARGA DARI RM35K

Daihatsu memperkenalkan versi dikemas kini bagi Taft untuk pasaran Jepun, enam tahun selepas model kei crossover itu membuat penampilan sulung.

Kemas kini kali ini memberi tumpuan kepada penambahan varian khas, teknologi baharu serta sistem keselamatan yang dipertingkat bagi memastikan ia terus relevan dalam segmen kenderaan kompak.

Antara tarikan utama ialah pengenalan dua edisi khas iaitu Rugged Venture dan Active Mode, masing-masing dibangunkan berasaskan varian G dan G Turbo. Kedua-duanya menyasarkan pengguna yang gemar aktiviti luar dan mahukan penampilan lebih garang.

Varian Rugged Venture dibezakan menerusi gril hadapan dan kemasan pintu belakang berwarna Smoked Chrome bersama sentuhan hitam. Ia turut dipadankan dengan rim aloi 15-inci berwarna Gunmetal serta kemasan dalaman yang sepadan.

Sementara itu, Active Mode menampilkan imej lebih sporty dengan kemasan yang lebih gelap. Bagi mereka yang inginkan gaya lebih menyerlah, Daihatsu turut menawarkan kit aksesori Active Mode Style yang menambah aksen oren pada gril, rim, lampu kabus dan beberapa komponen luaran lain.

Bagi model standard pula, tiada perubahan besar dari segi reka bentuk luaran. Satu-satunya pembaharuan ialah pilihan warna baharu Spark Orange yang ditambah ke dalam senarai pilihan.

Di ruang kabin, Taft kini dilengkapi kluster instrumen digital baharu bersaiz tujuh inci dengan paparan grafik lebih moden. Sistem infotainmen sembilan inci masih ditawarkan sebagai pilihan.

Selain itu, ruang simpanan turut dipertingkat menerusi kotak simpanan bawah ruang kargo yang boleh ditanggalkan, manakala bumbung panoramik kekal menjadi salah satu ciri istimewa model ini.

Dari aspek keselamatan, Daihatsu menaik taraf pakej bantuan pemanduan dengan sensor baharu yang memenuhi piawaian terkini di Jepun. Sistem kini mampu mengesan penunggang basikal, kenderaan dari arah bertentangan ketika membelok di persimpangan serta pejalan kaki ketika membelok ke kiri atau kanan.

Kelajuan maksimum bagi sistem pencegahan pelanggaran pejalan kaki turut dinaikkan kepada 80 km/j, manakala fungsi Adaptive Cruise Control dan Lane Keep Assist ditala semula bagi memberikan operasi yang lebih lancar.

Tiada perubahan pada rangkaian kuasa apabila Taft masih menggunakan enjin tiga silinder 658cc. Versi aspirasi semula jadi menghasilkan 51hp, manakala varian turbo menawarkan kuasa sehingga 63hp.

Kedua-dua enjin dipadankan secara eksklusif dengan transmisi CVT, selain ditawarkan dengan pilihan pacuan roda hadapan (FWD) atau pacuan semua roda (4WD).

Di Jepun, harga Daihatsu Taft 2026 bermula daripada AS$8,800 (RM35,816) bagi varian asas FWD tanpa turbo, manakala varian tertinggi Active Mode Turbo 4WD dijual pada harga AS$11,900 (RM48,433).

Google ads
Back to top button