Buletin

XPENG G6 CKD MULA DIBUKA UNTUK TEMPAHAN, HARGA KEKAL BERMULA RM158,888

Bermaz XPENG Sdn Bhd mengumumkan bahawa SUV coupe elektrik XPENG G6 kini memasuki fasa pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.

Model tersebut akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard Range, Long Range dan AWD Performance, dengan tempahan rasmi kini dibuka kepada pelanggan tempatan.

Pengenalan versi CKD ini menandakan langkah baharu XPENG dalam memperkukuhkan kehadirannya di Malaysia, sambil mengekalkan teknologi, prestasi dan kecekapan yang menjadi identiti model tersebut sejak diperkenalkan.

XPENG G6 dibina berasaskan platform SEPA 2.0, yang menawarkan sistem elektrifikasi berprestasi tinggi serta seni bina 800V.

Antara kelebihan utamanya ialah keupayaan pengecasan ultra pantas, membolehkan bateri dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam hanya 12 minit, sekali gus memberikan pengalaman penggunaan yang lebih praktikal untuk pemanduan harian.

Bagi varian Standard Range, ia menggunakan satu motor elektrik pacuan roda belakang (RWD) yang menghasilkan 252PS dan 440Nm. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 6.94 saat, dengan kelajuan maksimum 202 km/j.

Ia dipadankan dengan bateri 68.5kWh LFP yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 480 km (WLTP). Pengecasan DC menyokong kuasa sehingga 382kW, manakala pengecasan AC 11 kW mengambil masa sekitar 7.3 jam untuk pengecasan penuh.

Varian Long Range pula menerima motor elektrik lebih berkuasa dengan output 296PS dan 440Nm. Ia memecut dari 0-100 km/j dalam 6.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 202 km/j.

Bateri 80.8kWh LFP membolehkan jarak pemanduan sehingga 525 km (WLTP). Sistem pengecasan pantas DC kini menyokong sehingga 451 kW, manakala pengecasan AC 11 kW mengambil kira-kira 9.2 jam.

Bagi mereka yang mahukan prestasi lebih tinggi, varian Performance AWD menggunakan konfigurasi dua motor elektrik dengan motor hadapan menghasilkan 296PS dan 440Nm, manakala motor belakang menjana 190PS dan 220Nm.

Gabungan kedua-duanya menghasilkan kuasa keseluruhan 487PS dan 660Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam hanya 4.13 saat.

Walaupun lebih berkuasa, model ini masih menawarkan jarak pemanduan sehingga 510 km (WLTP) menggunakan bateri 80.8 kWh LFP, selain menyokong pengecasan DC sehingga 451 kW dan AC 11 kW.

Dari aspek bantuan pemanduan, kesemua varian CKD didatangkan standard dengan sistem XPILOT Assist, merangkumi Adaptive Cruise Control, Lane Centering Control dan Autonomous Parking Assist.

Dengan kuasa pemprosesan yang dipertingkatkan, sistem ini menawarkan tindak balas yang lebih lancar dan semula jadi ketika memandu.

XPENG G6 CKD dipasang di fasiliti EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Melaka dan masih mengekalkan harga jualan sedia ada.

Varian Standard Range ditawarkan pada harga RM158,888, diikuti Long Range pada RM178,888, manakala AWD Performance berharga RM189,888.

Penghantaran kepada pelanggan dijadualkan bermula Ogos 2026.

Sempena pelancarannya, Bermaz XPENG turut menawarkan pakej pemilikan terhad merangkumi pengecas dinding (wallbox) percuma bernilai RM5,000 serta sokongan perlindungan insurans sehingga RM5,000 bagi pelanggan yang membuat tempahan dalam tempoh promosi.

Google ads
Back to top button