
DENZA B5 DIPERKENALKAN – MASUK PASARAN INDONESIA TAHUN INI
Jenama mewah di bawah BYD, Denza, mencuri tumpuan apabila memperkenalkan SUV premium terbaharu mereka, Denza B5.
Walaupun model itu hanya dipamerkan dan belum dibuka untuk tempahan rasmi, sambutan pengunjung terhadap Denza B5 dilaporkan sangat menggalakkan.
Menurut Ketua Perhubungan Awam dan Kerajaan PT BYD Motor Indonesia, Luther T. Panjaitan, pihaknya turut terkejut dengan tahap minat yang ditunjukkan oleh pengguna, meskipun harga dan butiran pelancaran rasmi masih belum diumumkan.
Tambah Luther, buat masa ini BYD hanya memantau reaksi pasaran sebelum memberikan sebarang petunjuk harga.

Namun begitu, beliau mengesahkan bahawa Denza B5 dijangka akan mula dijual di Indonesia dalam tahun ini, selaras dengan kenyataan wakil tertinggi BYD bagi rantau Asia Pasifik sebelum ini.
Dalam aspek teknologi, Denza B5 dibangunkan menggunakan pendekatan struktur berasaskan kekuatan dan keselamatan melalui teknologi Cell-to-Chassis (CTC), selain dilengkapi sistem suspensi hidraulik pintar DiSus-P.
SUV ini turut menawarkan pelbagai mod pemanduan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan harian atau aktiviti lasak off-road.

Di pasaran China, Denza B5 menggunakan sistem hibrid plug-in (PHEV) yang menggabungkan enjin turbo 1.5 liter bersama dua motor elektrik di bahagian depan dan belakang.
Gabungan itu menghasilkan kuasa sehingga sekitar 677hp dengan tork maksimum 760Nm, sekali gus membolehkan SUV ini memecut dari 0 hingga 100km/jam dalam hanya 4.8 saat.
Pelancarannya kelak dijangka memberi saingan baharu dalam segmen SUV premium di Indonesia, khususnya dalam kategori elektrifikasi berprestasi tinggi.

