
BYD ATTO 3 EVO DIDEDAHKAN, SISTEM 800V, VARIAN RWD, 4WD – JARAK GERAK HINGGA 650KM
BYD Atto 3 Evo kini rasmi diperkenalkan sebagai versi generasi baharu bagi crossover elektrik popular itu, dengan fokus besar pada prestasi lebih tinggi, teknologi pengecasan lebih pantas serta pilihan pacuan semua roda.
Model ini bakal memasuki pasaran global dengan sistem voltan tinggi 800V, menjadikannya antara peningkatan terbesar berbanding Atto 3 sedia ada.
Melalui teknologi baharu ini, Atto 3 Evo mampu mengecas bateri dari 10 hingga 80 peratus hanya dalam masa sekitar 25 minit menggunakan pengecas pantas DC.

Untuk trenkuasa, varian asas pacuan roda belakang (RWD) dilengkapi satu motor elektrik pada gandar belakang yang menghasilkan 308hp dan 380Nm.
Ini merupakan lonjakan kuasa ketara berbanding model sebelumnya, sekaligus membolehkan pecutan 0-100km/j dicapai dalam 5.5 saat. Jarak pemanduan pula dianggarkan sehingga 650km mengikut kitaran CLTC.
Menariknya, BYD turut menawarkan versi pacuan semua roda (4WD) dengan kuasa lebih agresif iaitu 443hp dan tork 580Nm.

Varian ini mampu memecut 0-100km/j dalam hanya 3.9 saat, menjadikannya antara SUV elektrik paling pantas dalam segmennya. Namun, jarak pemanduan sedikit lebih rendah sekitar 510km.
Selain prestasi, Atto 3 Evo turut menerima naik taraf pada aspek pengendalian menerusi suspensi belakang bebas lima pautan, serta tambahan ruang simpanan hadapan (frunk) berkapasiti 101 liter.
Dimensinya kekal hampir sama iaitu 4,455mm panjang, 1,875mm lebar, 1,615mm tinggi, dengan jarak roda 2,720mm.

Rekaan luaran juga tidak berubah drastik, cuma terdapat sentuhan kecil seperti port pengecasan yang kini dipindahkan ke bahagian fender belakang.
Di dalam kabin, Atto 3 Evo tampil lebih moden dengan penukar gear jenis stalk, skrin infotainmen 15.6-inci, serta panel meter digital 8.8-inci. Kemudahan lain termasuk pad pengecasan tanpa wayar dan ruang but yang kini lebih besar dengan kapasiti 490 liter.
Secara keseluruhan, BYD Atto 3 Evo membawa penambahbaikan besar dari segi kuasa, pengecasan dan teknologi, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara SUV elektrik global paling kompetitif dalam kelasnya.

