Buletin

DENZA B8 DEBUT DI MALAYSIA TAK LAMA LAGI – 603HP, JARAK GERAK 1,040KM (NEDC)

DENZA bakal memperkenalkan model terbaharunya, DENZA B8, kepada orang ramai buat pertama kali di Malaysia menerusi pameran khas yang berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Bangsar Shopping Centre.

Sebagai model plug-in hybrid (PHEV) pertama DENZA untuk pasaran tempatan, SUV premium itu dibangunkan dengan gabungan teknologi elektrifikasi moden, keupayaan off-road dan tahap keselesaan mewah bagi memenuhi keperluan pemanduan harian serta perjalanan jarak jauh.

DENZA B8 hadir dengan tiga elemen utama yang menjadi tunjang pembangunannya iaitu;

  • Platform DMO (Dual Mode Off-Road) Super Hybrid
  • Sistem suspensi pintar DiSus-P Intelligent Hydraulic Body Control
  • Ruang kabin premium

Di bahagian trenkuasa, SUV berkenaan menggunakan enjin turbo 2.0 liter bersama dua motor elektrik dan teknologi Blade Battery yang dibangunkan oleh BYD. Gabungan itu membolehkan DENZA B8 menghasilkan kuasa sehingga 450kW (603hp) serta tork maksimum 760Nm.

Sistem DMO bukan sahaja memberi fokus kepada kecekapan bahan api, malah turut direka untuk menawarkan prestasi off-road sebenar dengan penghantaran kuasa yang lebih responsif dan stabil dalam pelbagai keadaan jalan.

DENZA B8 juga mampu bergerak sejauh 115 kilometer menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, manakala jarak perjalanan gabungan pula mencecah sehingga 1,040 kilometer berdasarkan standard NEDC.

Bagi meningkatkan kestabilan dan keselesaan, model itu dilengkapi sistem suspensi pintar DiSus-P yang berupaya menyesuaikan talaan suspensi secara automatik mengikut keadaan jalan dan gaya pemanduan semasa.

Sistem tersebut membantu mengawal pergerakan badan kenderaan dengan lebih baik terutama ketika melalui jalan tidak rata, mengambil selekoh atau ketika pemanduan berkelajuan tinggi, sekali gus memberikan pengalaman lebih lancar di dalam kabin.

Dari segi rekaan, DENZA B8 mengetengahkan imej moden dan agresif menerusi bahasa reka bentuk ‘Starship Mecha’ dengan lampu siang LED berbentuk ‘Starship Wing’ serta lampu belakang diinspirasikan daripada ‘Energy Thruster’.

Bahagian dalaman pula tampil lebih eksklusif dengan kemasan kulit Nappa, posisi tempat duduk tinggi serta susun atur kabin yang lebih mesra pemandu.

Turut melengkapkan pengalaman premium ialah sistem audio Devialet dengan 18 pembesar suara yang menawarkan kualiti bunyi lebih imersif sepanjang perjalanan.

DENZA menyasarkan B8 kepada pembeli SUV moden yang mahukan gabungan prestasi, teknologi canggih dan kemewahan dalam satu pakej tanpa kompromi.

Orang ramai boleh melihat sendiri DENZA B8 dari 22 hingga 24 Mei 2026 di Main Concourse, Ground Floor, Bangsar Shopping Centre bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Pendaftaran awal untuk yang berminat dengan DENZA B8 kini dibuka disini

Google ads
Back to top button