Buletin

FORD RACING RANCANG KEJUTAN BESAR – ‘KERETA MISTERI’ 1,000HP BAKAL DIDEDAHKAN JANUARI INI!

Detroit Auto Show 2026 bakal membuka tirai pada 14 Januari depan, namun tumpuan utama nampaknya tidak akan tertumpu di dalam pusat konvensyen Huntington Place.

Sebaliknya, Ford Racing merancang untuk mencuri perhatian dengan satu acara khas di Michigan Central Station pada 15 Januari, di mana sebuah “kereta jalanan” baharu dijangka didedahkan buat pertama kali.

Buat masa ini, Ford masih merahsiakan butiran projek tersebut, tetapi jenama itu menjanjikan “sneak peek eksklusif bagi kereta produksi baharu Ford Racing, bukti sejauh mana teknologi perlumbaan kami kini disepadukan ke dalam kenderaan jalanan harian.” Kenyataan ini memberi bayangan bahawa model tersebut mungkin diasaskan daripada Mustang atau Raptor.

Foto intipan baru-baru ini turut menunjukkan kelibat Mustang GTD versi hardcore sedang diuji di litar Nürburgring, menambahkan lagi spekulasi bahawa model itulah yang bakal diperkenalkan.

Difahamkan, Ketua Pegawai Eksekutif Ford, Jim Farley, mahu merampas semula rekod kelajuan Amerika daripada General Motors, yang ketika ini dipegang oleh Corvette ZR1 dan ZR1X, selepas Ford tewas kepada pesaing utamanya itu walaupun dengan kereta jauh lebih mahal.

Namun, Farley juga sebelum ini memberi petunjuk mengenai sebuah supercar off-road bernilai sekitar AS$300,000 (kira-kira RM1.4 juta), diinspirasikan daripada jentera Rali Dakar.

Model ini dikatakan mampu menghasilkan 1,000hp, menggunakan sistem hibrid separa elektrik, dan menampilkan suspensi boleh laras sepenuhnya.

Menariknya, beliau turut menolak kemungkinan ia berasaskan trak pikap, sebaliknya menggambarkannya sebagai “supercar laju untuk permukaan pasir, batu kerikil dan tanah.”

Selain pelancaran misteri ini, acara Ford Racing pada Januari itu juga akan menjadi pentas bagi pelancaran musim baharu pasukan perlumbaan mereka, meliputi NASCAR, perlumbaan ketahanan, Rali Dakar dan Baja.

Lebih menarik, Red Bull turut dijangka hadir untuk memperkenalkan livery rasmi bagi jentera Formula 1 yang menandakan kemunculan semula Ford ke pentas F1 selepas 22 tahun.

Pada masa sama, dua pasukan F1 di bawah Red Bull juga akan diumumkan pada acara tersebut, menjadikan Januari nanti bulan yang amat sibuk bagi dunia permotoran.

Google ads
Back to top button