PERODUA KELUAR 5.5 JUTA KERETA SELEPAS 32 TAHUN
PERODUA melakar sejarahnya yang tersendiri dalam industri automotif negara dengan pengeluaran kenderaannya mencecah 5.5 juta unit semalam setelah 32 tahun beroperasi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, ‘Line-off’ 5.5 juta hari ini adalah kereta Bezza, yang juga model paling laris PERODUA dua tahun berturut-turut.
Beliau berkata, model itu amat popular kerana versatiliti dan juga menawarkan nilai yang terbaik di pasaran pada masa ini.
Menurutnya, ketahanan model itu telah terbukti dan masih lagi kekal sebagai pilihan utama pelanggan sehingga hari ini dan pihaknya amat menghargai kepercayaan serta sokongan berterusan pelanggan selama ini.

“Sebagai tanda penghargaan, kami akan memastikan tawaran terbaik diberikan untuk model kereta kami yang akan datang.
“Kereta ini dikeluarkan oleh Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd (PGMSB), iaitu kilang kedua kami yang telah dilancarkan pada 2014. Kilang ini hanya mengeluarkan dua model popular kami iaitu Bezza dan Axia. PGMSB juga mengeluarkan model Perodua Ativa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi lawatan dan ramah mesra Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga kerja PERODUA di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaludin.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, pada masa ini, PERODUA sedang bersiap sedia dalam menghadapi masa hadapan dengan melabur dalam dunia kenderaan elektrik (EV).

Beliau berkata, pihaknya sedang giat menyediakan prasarana untuk masa hadapan dan bekerjasama dengan syarikat besar yang lain seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Telekom Malaysia (TM) dan juga PETRONAS untuk memperkenalkan dunia EV yang betul-betul Malaysia.
“Kami percaya yang dunia automotif masa hadapan bukan sekadar mengenai kenderaan yang diperkenalkan, tetapi juga pengalaman permotoran secara keseluruhan,” katanya.
Zainal Abidin berkata, PERODUA menyumbang kepada pembangunan ekosistem automotif negara dengan pembelian hampir RM116.1 bilion daripada vendor tempatan dari tahun 1993 hingga kini.
Malah, katanya, pihaknya berhasrat untuk membeli sebanyak RM10.8 bilion komponen automotif pada tahun ini saja.
“Ini adalah satu pencapaian yang amat memberangsangkan kerana kebanyakan aktiviti ekonomi ini dihasilkan oleh rakyat kita sendiri – syarikat Malaysia sendiri,” katanya.
Zainal Abidin berkata, dari tahun 2014 hingga kini, PERODUA telah melabur sebanyak RM1.8 bilion setakat ini untuk kilang PGMSB saja.
Bagi 2025, beliau berkata, PERODUA memperuntukkan sebanyak RM1.56 bilion perbelanjaan modal bagi memastikan operasi terus berdaya saing dalam industri dari segi pengeluaran, jualan dan perkhidmatan selepas jualan.
“Kami juga akan terus melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memastikan kelestarian operasi pada masa akan datang.
“Kami akan terus melabur untuk masa hadapan PERODUA dan juga Malaysia. Harapan kami agar kerajaan Malaysia akan terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada PERODUA agar kami dapat terus memberikan yang terbaik bukan saja kepada pelanggan malah kepada negara yang kami cintai ini,” katanya. – Harian Metro







