Buletin

BYD ATTO 3 2026 DIPERKENALKAN DI CHINA – JARAK GERAK 650KM, JANA KUASA 308HP

BYD memperkenalkan Atto 3 versi terkini, dikenali sebagai Yuan Plus di China, yang menawarkan jarak pemanduan CLTC sehingga 650km berkat bateri Blade (LFP) berkapasiti 74.880kWh.

Sebagai perbandingan, model generasi kedua Atto 3 kini di China hadir dengan pilihan bateri 49.92kWh atau 60.48kWh, dengan jarak pemanduan 430km hingga 510km.

Dari segi kuasa, Atto 3 baharu dipadankan dengan motor elektrik TZ200XYC berkuasa 308hp, meningkat 80kW daripada 150kW (201hp) pada model sedia ada, manakala kelajuan maksimum meningkat daripada 160 km/j kepada 180 km/j.

Dimensi kenderaan kekal sama iaitu 4,455/1,875/1,615mm dengan jarak roda 2,720mm. Walau bagaimanapun, kenaikan kapasiti bateri menyebabkan berat kereta meningkat kepada 1,880kg, lebih berat 190 hingga 255kg berbanding model sekarang.

Rekaan luaran Atto 3 baharu masih serupa dengan versi lama, namun rim lima-jejari berganda berwarna kelabu menambah sentuhan sporty. Saiz rim kekal 18-inci dengan tayar bersaiz 215/55 dan 235/50. Selain itu, port pengecas kini dipindahkan ke fender belakang kanan.

Ciri tambahan termasuk bumbung panoramik standard dan pilihan radar hadapan, radar sisi, kamera sisi, kamera belakang, serta trim tingkap.

Harga rasmi model ini masih belum diumumkan, tetapi model sedia ada dijual antara 111,800 hingga 141,800 yuan (RM 89,000–RM 113,000), lengkap dengan sistem bantuan pemanduan canggih “God’s Eye” C yang menyokong 29 sensor.

Google ads
Back to top button