Buletin

SHELL MALAYSIA PERKENAL APLIKASI SHELL RECHARGE UNTUK PENGALAMAN CAS EV LEBIH MUDAH

Shell Malaysia baru-baru ini telah melancarkan aplikasi mudah alih Shell Recharge, yang direka bagi memudahkan pemandu kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara.

Aplikasi baharu ini merupakan langkah seterusnya dalam usaha Shell memperluas rangkaian pengecasan EV di Malaysia, sambil menawarkan kemudahan carian lokasi pengecas, pembayaran tanpa tunai, dan pemantauan sesi pengecasan secara masa nyata.

Antara ciri menarik yang ditawarkan melalui aplikasi Shell Recharge termasuk:

  • Pembayaran Pantas: Pengguna boleh memautkan kad debit atau kredit untuk transaksi yang cepat dan mudah.
  • Tempah & Cas: Pilihan untuk menempah pengecas terlebih dahulu bagi memastikan ia tersedia ketika tiba di lokasi.
  • Capaian Rentas Sempadan: Aplikasi ini juga boleh digunakan di stesen Shell Recharge di Malaysia dan Singapura, menjadikannya ideal untuk perjalanan jarak jauh.
  • Kemas Kini Langsung: Pengguna boleh memantau status pengecasan mereka secara langsung melalui aplikasi.
  • Cari Pengecas Berdekatan: Penjejak lokasi dalam aplikasi memudahkan perancangan perjalanan dengan mengenal pasti pengecas terdekat yang tersedia.

Pelancaran aplikasi ini melengkapkan usaha Shell dalam membangunkan rangkaian Shell Recharge berprestasi tinggi (HPC) yang meliputi laluan Utara-Selatan serta Pantai Timur-Barat di Semenanjung Malaysia, termasuk hab pengecasan pada altitud tertinggi di Genting Highlands.

Menurut Pengurus Besar, Mobiliti & Kemudahan Shell Malaysia, Seow Lee Ming, aplikasi baharu ini menandakan fasa baharu dalam evolusi perkhidmatan pengecasan EV Shell.

“Dengan Shell Recharge App, kami ingin menjadikan perjalanan elektrik lebih mudah dan yakin supaya pengguna boleh pergi lebih jauh dengan Shell, sambil kami terus menyokong peralihan tenaga negara,” katanya.

Bagi meraikan pelancaran ini, Shell menawarkan promosi khas sempena 11 November 2025, di mana pengguna aplikasi akan menikmati kadar istimewa RM1.11 setiap kWh di semua stesen pengecasan Shell Recharge HPC di seluruh Malaysia.

Aplikasi Shell Recharge kini boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store untuk pengalaman pengecasan EV yang lebih mudah, pantas dan boleh dipercayai.

Google ads
Back to top button