Buletin

FORD RANGER SUPER DUTY DILANCARKAN DI THAILAND – HARGA MULA RM195K

Ford kini memperkenalkan Ford Ranger Super Duty secara rasmi di Thailand sebagai varian paling ekstrem dalam keluarga Ranger, dengan harga ditetapkan pada 1,599,000 baht, iaitu sekitar RM195,922 bagi versi Double Cab.

Model ini dihasilkan di kilang Auto Alliance Thailand di Rayong, yang juga menjadi satu-satunya hab pengeluaran global bagi Ranger dan Everest, dan ditawarkan dalam dua bentuk badan utama iaitu Single Cab jenis casis serta Double Cab pick-up, dengan jaminan selama lima tahun atau 100,000km selain insurans komprehensif percuma untuk tahun pertama.

Dari segi dimensi, Ranger Super Duty ini jelas lebih besar dan tinggi berbanding Ranger biasa seperti Wildtrak, dengan ukuran panjang 5,447mm, lebar 2,035mm dan tinggi 1,975mm, manakala jarak rodanya kekal 3,270mm.

Kelegaan tanahnya meningkat ketara kepada 296mm berbanding hanya 234mm pada Wildtrak, sekali gus membolehkan kenderaan ini meredah air sedalam sehingga 850mm.

Di bawah bonet, model ini menggunakan enjin diesel V6 3.0 liter turbo berkapasiti 2,993cc yang menghasilkan 210hp pada 3,250rpm dan tork maksimum 600Nm pada 1,750rpm, dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan SelectShift.

Sistem pacuan pula menggunakan 4A-4WD sepenuh masa dengan mod 4H dan 4L, serta dilengkapi penapis DPF, mematuhi piawaian Euro 6 dan serasi dengan biodiesel B20.

Walaupun angka kuasa dilihat lebih rendah berbanding talaan sebelum ini, fokus utama jelas diberikan kepada ketahanan serta keupayaan kerja berat.

Keupayaan utiliti model ini dipertingkat secara menyeluruh, dengan berat kenderaan sekitar 2,512 hingga 2,675kg, namun mampu membawa muatan maksimum sehingga 1,982kg.

Nilai GVM kini meningkat kepada 4,500kg berbanding sekitar 3,200 hingga 3,300kg sebelum ini, manakala keupayaan menunda juga ditingkatkan kepada 4.5 tan.

Jumlah berat gabungan maksimum (GCM) pula mencapai 8,000kg, menjadikannya antara pick-up paling berkeupayaan tinggi dalam segmennya. Malah, bagi menguji ketahanan sebenar, model ini telah diuji dengan membawa sehingga 600 kg lumpur sepanjang perjalanan off-road.

Dari sudut kejuruteraan, Ranger Super Duty menerima casis dan sistem suspensi yang direka semula sepenuhnya dan tidak lagi berkongsi dengan Ranger standard.

Rangka casis baharu ini lebih tebal, lebih besar dan sekitar 70 hingga 80kg lebih berat, manakala lengan kawalan aluminium merupakan yang paling kukuh pernah digunakan pada Ranger.

Gandar hadapan dan belakang juga direka semula supaya lebih besar dan tahan lasak, bersama differential jenis heavy-duty yang turut dilengkapi kunci elektronik untuk kedua-dua gandar.

Suspensi hadapan menggunakan rekaan bebas double wishbone dengan spring gegelung dan bar anti-oleng, manakala bahagian belakang menggunakan sistem daun spring empat lapis yang lebih panjang dan tebal bagi menyokong beban lebih tinggi.

Tangki bahan api juga diperbesar kepada 130 liter, membolehkan jarak pemanduan sekurang-kurangnya 1,000km walaupun dalam mod pacuan empat roda sepenuh masa.

Rekaan luarannya menonjolkan identiti ‘heavy duty’ yang sebenar, dengan penggunaan rim besi bersaiz 18-inci bersama tayar All-Terrain 33-inci, serta konfigurasi lapan nat roda menggantikan enam sebelum ini.

Bampar hadapan jenis keluli dipasang terus pada casis dan menyokong pemasangan winch sehingga 12,000 lb atau 5.4 tan, manakala bahagian bawah kenderaan dilindungi skid plate keluli setebal 3.6mm yang meliputi komponen penting seperti differential, transmisi dan sistem kuasa.

Selain itu, model ini turut dilengkapi gril khas Super Duty, fender flare lebih besar, cermin sisi bersaiz besar dengan pelarasan elektrik, lampu LED penuh termasuk DRL berbentuk C-Clamp, serta sistem pencahayaan zon di sekeliling kenderaan.

Bahagian belakang pula menampilkan tailgate dengan fungsi Easy Lift, soket kuasa 230V 400W, serta pelapik ruang kargo.

Masuk ke dalam kabin, walaupun dibina untuk tugas berat, ia tetap menawarkan tahap keselesaan moden dengan kemasan tempat duduk kulit lengkap dengan fungsi ventilasi bagi pemandu dan penumpang hadapan.

Tempat duduk pemandu boleh dilaras secara elektrik 10 hala serta dilengkapi memori, manakala penumpang hadapan mendapat pelarasan lapan hala.

Sistem infotainmen pula terdiri daripada paparan digital 8-inci dan skrin sentuh tengah bersaiz 12-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, bersama pengecas telefon tanpa wayar serta sistem audio enam pembesar suara.

Antara ciri lain termasuk kawalan pendingin hawa automatik dwi-zon, brek parkir elektronik dengan Auto Hold, suis tambahan untuk off-road, serta beberapa soket kuasa 230V di dalam kabin.

Dari aspek keselamatan, model ini dilengkapi pakej lengkap termasuk tujuh beg udara, kamera pandangan 360 darjah, sistem brek kecemasan automatik dengan pengesanan pejalan kaki, amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.

Ia juga hadir dengan Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, serta sistem bantuan stereng bagi mengelak pelanggaran.

Untuk pemanduan off-road, Ranger Super Duty menawarkan tujuh mod pemanduan termasuk Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts, Sand dan Rock Crawl, selain sistem Trail Control, Trail Turn Assist dan Pro Trailer Backup Assist yang memudahkan kawalan ketika menunda.

Secara keseluruhan, Ford Ranger Super Duty bukan sekadar varian kosmetik, sebaliknya sebuah model yang dibangunkan semula secara menyeluruh untuk memenuhi keperluan tugas berat.

Google ads
Back to top button