Buletin

FOTO SUV ELEKTRIK KERJASAMA LAND ROVER–CHERY, FREELANDER TERTIRIS AWAL. ANGGARAN HARGA RM260K

Imej sebenar model pertama di bawah jenama baharu FREELANDER hasil kerjasama antara Land Rover dan Chery dilaporkan telah tertiris lebih awal daripada pelancaran rasminya.

Model ini dijangka diperkenalkan secara rasmi pada 31 Mac, sekali gus menandakan kemunculan sulung barisan kenderaan di bawah nama tersebut.

Berdasarkan maklumat awal, SUV ini diposisikan sebagai model lasak berteknologi tenaga baharu (NEV) dan akan menggunakan komponen daripada pembekal utama seperti Huawei melalui sistem Qiankun ADS, cip Qualcomm Snapdragon, serta bateri daripada CATL.

Menurut laporan, harga anggaran di China dikatakan sekitar 400,000 yuan (sekitar RM260,000).

Imej yang tersebar menunjukkan kenderaan ini berkemungkinan telah menjalani ujian pelanggaran di fasiliti China Automotive Technology and Research Center sebelum ia terdedah kepada umum.

Dari segi rekaan, SUV ini menampilkan bentuk berkotak tegap, mengingatkan kepada Land Rover Discovery, terutama pada bahagian hadapan yang minimalis dengan gril tertutup serta lampu utama berbentuk segi empat.

Bonet hadapan menggunakan reka bentuk jenis clamshell yang besar, manakala bumbung dilengkapi sensor lidar.

Selain itu, terdapat juga kamera dan sensor tambahan di bahagian sisi, menandakan penggunaan sistem bantuan pemandu pintar yang canggih.

Bahagian belakang pula tampil ringkas dengan lampu berbentuk segi empat yang sepadan dengan lampu hadapan, serta tulisan “FREELANDER” pada pintu tailgate.

Di dalam kabin, rekaan dalaman turut didedahkan dengan susun atur moden. Stereng tiga jejari hadir dengan kawalan jenis roller, manakala papan pemuka menampilkan skrin tengah besar terapung bersama satu lagi skrin tambahan untuk penumpang. Di bawahnya terdapat butang fizikal untuk kawalan asas.

Ciri lain termasuk penukar gear elektronik, dua pad pengecas tanpa wayar, serta ruang simpanan terbuka di bahagian bawah konsol tengah.

SUV ini juga menggunakan konfigurasi tempat duduk 2+2+2 untuk enam penumpang, dengan tempat duduk barisan kedua di sebelah kanan dijangka menyokong mod “zero gravity” untuk keselesaan maksimum.

Dari segi kuasa, model ini dijangka ditawarkan dalam versi elektrik sepenuhnya dan juga range extender, dengan sistem pacuan semua roda sebagai standard.

Ia turut dijangka mengekalkan keupayaan off-road yang sinonim dengan jenama Land Rover.

Google ads
Back to top button