
TOYOTA bZ7 DILANCARKAN – TERIMA LEBIH 3,100 TEMPAHAN DALAM SEJAM
Sedan elektrik baharu hasil gabungan kekuatan Toyota Motor Corporation dan teknologi China mencatat permulaan memberangsangkan apabila model bZ7 meraih lebih 3,100 tempahan hanya dalam tempoh sejam selepas pelancaran rasmi.
Dilancarkan oleh usaha sama GAC Toyota, model ini ditawarkan dalam lima varian dengan julat harga selepas subsidi antara 147,800 hingga 199,800 yuan (sekitar RM97,000 hingga RM131,000).
Dari segi rekaan, bZ7 menampilkan identiti keluarga Toyota dengan jalur lampu LED melintang di hadapan serta lampu siang berbentuk ‘C’.
Profil sisi pula mengambil gaya fastback ala coupe dari tiang-C ke belakang, lengkap dengan pemegang pintu separa tersembunyi.

Bahagian belakang diserlahkan dengan lampu LED penuh yang menyambung kiri dan kanan. Dimensinya cukup besar – panjang 5,130mm, lebar 1,965mm dan tinggi 1,506mm, dengan jarak roda 3,020mm, serta rim 20-inci sebagai standard.
Masuk ke ruang kabin, fokus utama diberikan kepada keselesaan premium. Tempat duduk depan dan belakang hadir dengan fungsi pengudaraan, pemanas serta urutan, manakala tempat duduk hadapan menggunakan rekaan ‘zero gravity’ dwi-motor.
Sistem infotainmen pula dipacu oleh Huawei HarmonyOS 5.0, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay serta kawalan suara pintar berasaskan model MoLA yang mampu memahami arahan berbilang zon dalam masa nyata.
Menariknya, sistem ini turut serasi dengan ekosistem Xiaomi melalui integrasi aplikasi Mi Home, selain sokongan akses pintar seperti kunci digital Huawei StarFlash.

Dari sudut pemanduan pintar, bZ7 menggunakan sistem bantuan pemandu Momenta R6. Varian dengan LiDAR dilengkapi sehingga 27 sensor termasuk radar gelombang milimeter, kamera definisi tinggi dan sensor ultrasonik.
Selain itu, ia turut menyokong fungsi seperti Navigate on Autopilot (NOA) di lebuh raya, bantuan navigasi dalam bandar serta parkir automatik – semuanya tanpa yuran langganan tambahan.
Prestasi pula disokong oleh sistem pacuan elektrik Huawei Drive ONE, menghasilkan kuasa maksimum 278hp dengan kecekapan mencecah 97.5%.
Ia menggunakan bateri LFP dengan dua pilihan kapasiti, memberikan jarak gerak sehingga 710km (CLTC). Sistem pengecasan pantas 3C membolehkan tambahan sekitar 300km dalam hanya 10 minit, selain fungsi ‘vehicle-to-load’ 6.6kW untuk kegunaan luaran.
Sistem casis turut canggih dengan gabungan suspensi udara dwi-ruang, penyerap hentak SDC dan teknologi imbasan jalan yang melaras suspensi secara proaktif mengikut keadaan permukaan.
Menurut wakil jualan GAC Toyota, sambutan awal yang mencecah lebih 3,100 tempahan dalam sejam mencerminkan keyakinan tinggi pengguna terhadap model ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan Toyota dalam segmen EV di China.
- BACA: CADANG PINDA AKTA 333, WAJIBKAN PEMANDU MABUK BAYAR GANTI RUGI – ANTHONY LOKE
- BACA: THUNDER MOTORCYCLE LANCAR FTS250 DI JEPUN – 29HP, 22.5NM
- BACA: VOLVO MAHU JADI PENGIMPORT LYNK & CO DI EROPAH, GUNA RANGKAIAN PENGEDAR VOLVO
- BACA: PELAN BESAR KINI KABUR, BYD PERTIMBANG SEMULA KILANG CKD DI TANJUNG MALIM




