
GARA-GARA TAK BERI ‘SIGNAL’, KETEGANGAN BERTUKAR TRAGEDI
Seorang penunggang motosikal maut selepas ditikam dan ditetak oleh seorang lagi penunggang dalam kejadian di Jalan Ciwastra Mekar Jaya, Rancasari, Bandung, awal pagi Jumaat.
Insiden itu berlaku selepas insiden pertengkaran di jalan raya, dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang membelok tanpa memberikan isyarat lampu penunjuk arah.
Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan kedua-dua lelaki itu bertengkar sebelum tercetus pergaduhan fizikal.
Suspek kemudian menghentak mangsa dengan topi keledar sehingga mangsa terjatuh. Mangsa cuba melarikan diri namun suspek mengejar sebelum menikamnya berkali-kali sehingga rebah dalam keadaan berlumuran darah.
Orang awam membawa mangsa ke hospital tetapi dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan tikaman di beberapa bahagian tubuh.
Pihak polis berjaya menahan suspek di kawasan Ciwidey kurang daripada 24 jam selepas kejadian. Suspek turut didapati membawa senjata tajam yang disimpan di dalam motosikal dan mendakwa ia digunakan untuk ‘melindungi diri’.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bandung, Komisioner Anton, suspek tidak mengenali mangsa dan tidak berniat membunuh pada awalnya. Namun emosinya tercetus apabila mangsa didakwa tidak memberikan isyarat ketika membelok. Pemeriksaan turut mendapati suspek berada di bawah pengaruh alkohol dan ubat kawalan ketika kejadian.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan suspek dalam kes-kes lain. Suspek kini berdepan tuduhan membunuh dan menyebabkan kematian, yang memperuntukkan hukuman maksimum sehingga 15 tahun penjara. – Sinar Harian








