Buletin

GGR MOTOR DEDAH PROTOTAIP MOTOSIKAL ELEKTRIK BAHARU – PANTERA R1 DAN R2, JARAK GERAK 300KM

GGR Legacy (M) Sdn. Bhd. atau lebih dikenali sebagai GGR Motor, hari ini memperkenalkan dua prototaip motosikal elektrik baharu – Pantera R1 dan Pantera R2.

Kedua-duanya merupakan motosikal elektrik jarak jauh pertama yang direka dan dipasang sepenuhnya di Malaysia, dengan kemampuan mencapai sehingga 300 kilometer bagi satu cas penuh.

Kedua-dua model dikuasakan motorhub 5,000W bersama Votol Controller, memberikan kelajuan maksimum antara 110 hingga 150 km/j.

Ia menggunakan dua bateri 73.8V/116Ah, menyokong fungsi pengecasan pantas hanya 30 minit, dan menampilkan kos penyelenggaraan yang hampir sifar, kelebihan utama bagi penunggang harian.

Menurutnya, segmen sasaran utama bagi Pantera R1 dan R2 ialah rider e-hailing serta usahawan mikro, dengan potensi penjimatan hingga 60 peratus kos operasi harian berbanding motosikal petrol.

GGR turut merancang skim pembiayaan mudah melibatkan deposit rendah dan bayaran fleksibel apabila model ini dipasarkan secara rasmi pada tahun hadapan.

Bina Ekosistem EV Nasional

Untuk menyokong penggunaan motosikal elektrik secara meluas, GGR sedang membangunkan rangkaian stesen pengecasan dan pertukaran bateri (swap station) di seluruh negara melalui kerjasama strategik dengan beberapa jenama besar seperti 99 Speedmart, ZUS Coffee dan beberapa syarikat minyak utama.

Menariknya, sistem pengecasan Pantera juga serasi dengan pengecas kereta elektrik standard, memberikan fleksibiliti tambahan kepada pengguna.

Selain itu, GGR turut memperkenalkan konsep baharu ‘Subscription Swap Station’, membolehkan pengusaha tempatan melanggan dan mengendalikan stesen pertukaran bateri di bawah jenama GGR, serta menjana pendapatan melalui komisen setiap transaksi.

Dalam perkembangan berkaitan, selepas kejayaan model Lion G1 dengan jualan melebihi 8,000 unit, GGR kini memperkukuh jaringan pengedaran dengan melantik PMH Motor (Alor Setar) sebagai Master Dealer Utara.

Syarikat itu juga bekerjasama dengan artis tempatan seperti Farid Kamil, Johan dan Ajak Shiro menerusi jenama GGR X bagi memperluas daya tarikan di pasaran.

Google ads
Back to top button