
OPEL MOKKA GSE RALLY – GENERASI BAHARU UNTUK MODEL EV BERLUMBA RALI
Semenjak tahun 2021 Opel telah berjaya membuktikan bahawa EV ini juga mampu dibawa berlumba rali tanpa masalah. Buktinya Opel Corsa Rally Electric yang digunakan dalam siri perlumbaan ADAC Opel Electric Rally Cup “dikuasakan oleh GSe”, telah terbukti sebagai kereta rali yang pantas, boleh dipercayai dan selamat.
Persatuan sukan permotoran kebangsaan seperti FFSA (Perancis), KNAF (Belanda), RACB (Belgium) dan ÖAMTC (Austria) menggunakan Piala Rali Elektrik Opel ADAC “dikuasakan oleh GSe” sebagai platform latihan yang ideal untuk bakat muda. Opel dan ADAC meneruskan program pembangunan bakat mereka yang berjaya. Empat juara Piala, Laurent Pellier, Timo Schulz, Calle Carlberg, dan Luca Pröglhöf, telah meneruskan ke ADAC Opel Rally Junior Team dan Junior Rally European Championship, di mana mereka bersaing untuk merebut gelaran, kemenangan dan tempat podium di kalangan bakat rali terbaik di Eropah.
Dan kini, Opel selaku peneraju dalam sukan rali elektrik sekali lagi telah mengambil ke hadapan dengan pengenalan serba baharu model Mokka GSe Rally.

Model Mokka GSe Rally ini akan akan menggantikan Corsa Rally Electric sebagai kereta lumba dalam siri perlumbaan ADAC Opel Electric Rally Cup bermula tahun 2026 nanti dengan tayangan perdana model ini telah pun ditunjukkan pada bulan Mei yang lalu di ELE Rally di Netherlands sekali gus mempamerkan setiap aspek lebih kuat dan lebih pantas tanpa kompromi.
Menurut data yang diperolehi, kuasa yang dihasilkan oleh Opel Mokka GSE Rally ini agak memberangsangkan juga dengan output maksimum 280 HP dan tork 345 Nm serta digabungkan dengan teknologi permotoran yang moden. Kuasa yang dihasilkan ini sebenarnya setanding dengan kereta rali dalam kelas Rally4.

Beberapa ciri penambahbaikan telah diberikan seperti pembezaan gelinciran terhad berbilang plat dan transmisi perlumbaan, bersama dengan aci pemacu yang diperkukuh serta casis yang diperkuatkan tetapi masih lagi ringan. Sistem suspensi rali yang ditala dengan sempurna dari Bilstein terdiri daripada tupang McPherson bertetulang dan lekap uniball pada gandar hadapan dan gandar belakang yang diubah suai.
Manakala sistem pemanduan seperti ABS, ESP dan juga kawalan traksi juga telah dinyahaktifkan. Jadah apanya nak guna semua itu kan. Tetapi perisian untuk pengurusan bateri telah direka semula untuk memberikan ketahanan yang diperlukan melalui pek bateri 54 kWh.
Tahukah anda juga bahawa Opel Mokka GSE Rally ini adalah merupakan kereta rali pertama yang dibangunkan mengikut peraturan baharu FIA eRally5. Ini bermakna kereta elektrik pantas itu layak untuk bersaing di seluruh dunia mulai musim rali 2026 dan seterusnya.

