
TEMPAHAN GWM WEY G9 Hi4 HEV KINI DIBUKA – BATERI 1.67KWJ, JANA 358PS
GWM Malaysia memperluas barisan model MPV mewah WEY G9 menerusi pengenalan varian hibrid elektrik (HEV), yang kini dibuka untuk tempahan menjelang pelancaran rasminya di pasaran tempatan.
Kehadiran GWM WEY G9 Hi4 HEV melengkapkan pilihan sedia ada, iaitu WEY G9 Hi4 PHEV, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.
Menurut GWM Malaysia, model WEY G9 Hi4 PHEV kini menghampiri pencapaian 2,000 unit penghantaran di seluruh negara. Berdasarkan data jualan rasmi pengeluar, model itu turut dinobatkan sebagai MPV mewah paling laris di Malaysia.
Varian baharu HEV menggunakan teknologi Hi4 (Hybrid Intelligent 4WD) yang menggabungkan enjin pembakaran dalaman dengan dua motor elektrik bagi menghasilkan prestasi dan kecekapan bahan api yang seimbang.
Sistem rangkaian kuasanya terdiri daripada enjin turbo 2.0 liter, transmisi hibrid khusus empat kelajuan (DHT), dua motor elektrik serta bateri hibrid berkapasiti 1.67kWj.

Gabungan itu menghasilkan kuasa keseluruhan 358PS dan tork maksimum 782Nm, menawarkan tindak balas pecutan yang pantas serta prestasi meyakinkan untuk pemanduan harian mahupun perjalanan jarak jauh.
Sebagai model HEV, WEY G9 Hi4 HEV tidak memerlukan pengecasan daripada sumber elektrik luaran. Pengguna hanya perlu mengisi bahan api seperti biasa, dengan sistem hibrid membantu mengoptimumkan penggunaan tenaga ketika kenderaan bergerak.
Selain teknologi hibrid, model itu turut mengekalkan ciri premium yang menjadi tarikan WEY G9, termasuk kabin tiga baris tempat duduk yang luas, tempat duduk kulit Nappa, sistem pembatalan hingar aktif, sistem audio premium serta teknologi bantuan pemandu.
GWM Malaysia berkata penambahan varian HEV memberi peluang kepada pelanggan memilih rangkaian kuasa berdasarkan keperluan dan gaya pemanduan masing-masing, tanpa mengetepikan aspek keselesaan, keselamatan dan kemewahan.
Tempahan GWM WEY G9 Hi4 HEV kini dibuka menerusi pengedar sah GWM di seluruh negara. Harga jualan dan spesifikasi penuh model itu akan diumumkan menjelang pelancaran rasminya.
SPESIFIKASI GWM WEY G9 Hi4 HEV
- Rangkaian kuasa: Hibrid elektrik (HEV)
- Teknologi hibrid: Hi4 (Hybrid Intelligent 4WD)
- Enjin: 2.0 liter turbo
- Transmisi: Dedicated Hybrid Transmission (DHT) empat kelajuan
- Motor elektrik: Dua motor elektrik
- Kapasiti bateri hibrid: 1.67kWj
- Kuasa gabungan: 358PS
- Tork maksimum: 782Nm
- Sistem pacuan: Pacuan empat roda pintar hibrid

