
AVETA NOVA 200 LIMITED EDITION DIPERKENAL – HANYA 1,688 UNIT, RM8,788
Bagi meraikan pengguna motosikal Aveta di Malaysia, Aveta Malaysia telah memperkenalkan Nova 200 Limited Edition (LE) ketika Aveta Mega Gathering 2026.
Menurut Aveta, Nova 200 LE itu hanya terhad kepada 1,688 unit sahaja dan dibezakan dengan penggunaan warna Cyber Yellow di samping nombor siri 0000 hingga 1688.
Aveta turut memberikan ciri yang lebih segar termasuk visor sporty serta rim berwarna keemasan bagi menyerlahkan lagi warna kuning pada bahagian badan.

Hasilnya, Nova 200 LE tampil lebih menonjol di samping mengekalkan imej sporty yang selama ini menjadi daya tarikan utama pengguna tempatan.
Menggerakan Nova 200 LE masih lagi enjin satu silinder 183.3cc 4-valve SOHC yang berupaya menghasilkan 18.1hp pada 8,000rpm dan 17.6Nm pada 5,500rpm.

Ciri lain ditawarkan termasuk pengecas USB Type-A dan Type-C, tangki bahan api berkapasiti 10L, sistem keyless, ABS dual-channel, traction control (TCS), ISS, serta lampu LED penuh.
Orang ramai yang berminat boleh mula merisik Nova 200 LE ini dengan harga jualan RM8,788 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).







