
HAVAL RAPTOR PHEV 2026 DILANCARKAN TAK LAMA LAGI – JANA 443HP, JARAK GERAK 151KM
Great Wall Motor (GWM) melalui jenama Haval terus memperkukuhkan kedudukan mereka dalam segmen SUV dengan memperkenalkan imej rasmi terbaharu bagi model facelift Haval Raptor Hi4 PHEV 2026.
Walaupun tarikh pelancaran rasmi masih belum diumumkan, model hibrid plug-in ini sudah menunjukkan potensi besar melalui pelbagai peningkatan yang ditawarkan, dari segi penampilan, kuasa enjin, hinggalah ke teknologi bantuan pemanduan.
Penampilan luar Haval Raptor 2026 kini tampil lebih moden dengan lampu hadapan berbentuk segi empat menggantikan lampu bulat pada model terdahulu.

Setiap unit lampu terdiri daripada 123 LED yang mampu menyinari sejauh 189 meter, lengkap dengan jalur cahaya sepanjang lebih satu meter.
Profil sisi masih mengekalkan bentuk kotak yang ikonik, bersama lengkungan roda dilebarkan sebanyak 30 mm, rim berwarna hitam, rak bumbung, dan pemegang pintu konvensional.
Bahagian belakang pula menerima lampu LED mendatar baharu dengan 300 unit LED, manakala tayar gantian luaran yang menjadi ciri utama masih dikekalkan, cuma logo tengah kini berubah daripada “HAVAL” kepada “GWM”.

Menambah kesegaran visual, satu pilihan warna baharu iaitu hijau pudina turut diperkenalkan. Dari segi saiz, dimensinya kekal sama: 4,800mm panjang, 1,950mm lebar dan 1,843mm tinggi, dengan jarak roda 2,738mm, membolehkan ia dikategorikan sebagai SUV kompak bersaiz besar.
Di bahagian dalam, kabin Raptor 2026 diberi nafas baharu dengan stereng rata dua jejari, bilangan butang fizikal dikurangkan, dan paddle shifter diperkenalkan menggantikan tombol gear konvensional.
Sistem infotainmen pula dikendalikan oleh Coffee OS 3 – sistem operasi proprietari GWM yang menampilkan antara muka moden dan responsif.

Dari segi mekanikal, Raptor 2026 menampilkan sistem hibrid plug-in Hi4 generasi baharu GWM yang terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo (kod GW4B15M) dan dua motor elektrik.
Gabungan ini menjana kuasa keseluruhan 443hp dan tork maksimum 750Nm. Akselerasi 0-100 km/j dicatatkan hanya dalam 5.9 saat.
Untuk tenaga elektrik sepenuhnya, bateri litium-ion ternari berkapasiti 35.43kWh menawarkan jarak pemanduan sekitar 151km (kitaran WLTC). Berat keseluruhan kenderaan ialah 2,135 kg.

Bandingkan dengan model tahun 2024, sistem kuasa gabungan hanya mencatat 295hp dan tork 510Nm, dengan pecutan 0-100 km/j sekitar 6 saat. Jelas sekali, peningkatan pada model 2026 bukan sekadar kosmetik, tetapi benar-benar memberi impak pada prestasi.
SUV ini turut dilengkapi sistem bantuan pemanduan canggih, merangkumi tujuh kamera, radar gelombang milimeter, serta 12 penderia ultrasonik yang menyokong fungsi pemanduan separa autonomi seperti NOA (Navigation on Autopilot) dan bantuan parkir pintar.
Untuk pasaran China, model terdahulu dijual dalam empat varian pada harga antara 165,800 hingga 192,800 yuan (anggaran RM106,000 – RM124,000).
Soalannya kini, adakah model baharu ini bakal memasuki pasaran global, termasuk ASEAN? Sama-sama kita nantikan.
- BACA: MUAMALAT EON VISA INFINITE-i & PLATINUM-i DILANCARKAN: PENYELESAIAN GAYA HIDUP PATUH SYARIAH UNTUK PEMINAT AUTOMOTIF
- BACA: EON & SAHABAT AUTOFEST 2025 KEMBALI LAGI, BERLANGSUNG SEHINGGA 10 OGOS
- BACA: BATERIKU LANCAR ASTRA, KINI DIIKTIRAF SIRIM
- BACA: TRIUMPH THRUXTON 400 DEBUT DI INDIA – 41.4HP, 37.5NM

