Buletin

EON & SAHABAT AUTOFEST 2025 KEMBALI LAGI, BERLANGSUNG SEHINGGA 10 OGOS

Edaran Otomobil Nasional (EON), anak syarikat DRB-HICOM Berhad dan peneraju utama dalam rangkaian automotif pelbagai jenama di Malaysia, sekali lagi menjadi tumpuan dengan penganjuran EON & Sahabat Autofest 2025.

Acara yang berlangsung di EON Glenmarie, Shah Alam ini membuka tirai sehingga 10 Ogos 2025, menandakan edisi kedua festival yang menggabungkan dunia automotif dengan elemen gaya hidup.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EON Berhad, Akkbar Danial, acara ini mencerminkan kekuatan ekosistem luas EON yang menghimpunkan pelbagai jenama di bawah satu bumbung, sekali gus memudahkan pelanggan mendapatkan kenderaan idaman sambil membina hubungan jangka panjang berdasarkan kepercayaan.

Tahun ini, Autofest hadir seiring dengan penampilan identiti baharu EON yang lebih segar dan disatukan di bawah slogan “Semangat Memacu Aspirasi”, melambangkan komitmen untuk memberikan perkhidmatan penuh semangat, inovatif dan mudah diakses.

Visi jenama ini – “Menerajui mobiliti masa hadapan, dipacu dengan hati” – menjadi panduan dalam usaha menawarkan penyelesaian mobiliti yang progresif dan berfokuskan pelanggan.

Sebagai sebahagian daripada pengalaman menyeluruh, Autofest menyediakan lapan zon utama yang merangkumi pameran kenderaan pelbagai jenama, perkhidmatan kewangan, kemudahan selepas jualan, serta aktiviti gaya hidup untuk semua peringkat usia.

Pelanggan yang membuat pendaftaran awal turut berpeluang membawa pulang hadiah eksklusif, termasuk koleksi Hot Wheels Proton Saga edisi ulang tahun ke-40.

Antara jenama automotif yang memeriahkan acara ini termasuk Proton, smart, Mitsubishi, Honda, Isuzu, Audi, Volkswagen dan Daihatsu. Turut hadir ialah rakan strategik dalam bidang pembiayaan, insurans, teknologi mobiliti dan servis selepas jualan.

Pengunjung juga berpeluang memandu uji model-model pilihan dan mendapatkan kelulusan pinjaman bank dalam masa 30 minit menerusi Tras, platform pembiayaan digital inovatif milik EON.

Tawaran promosi dan rebat eksklusif sehingga RM40,000 turut menanti, sah sepanjang festival dan di semua cawangan EON di seluruh negara.

Bagi yang mencari kenderaan terpakai, Autofest 2025 memperkenalkan buat pertama kali sistem bidaan langsung (Live Tender) yang membolehkan pembelian secara dalam talian dengan proses yang telus sepenuhnya.

Tidak dilupakan, zon khusus kanak-kanak dan keluarga menyediakan pelbagai aktiviti interaktif seperti rekaan T-shirt sendiri, stesen unboxing Hot Wheels dan ruang mesra ibu bapa.

Menambah kemeriahan, ikon politik dan pengacara KS Lagi, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, bersama legenda rali negara Karamjit Singh atau “Flying Sikh”, akan tampil pada 9 Ogos 2025.

Penutup acara pada 10 Ogos bakal dihangatkan dengan konsert mini menampilkan Nolee dan Aisha Retno.

Google ads
Back to top button