Buletin

HONDA CITY HATCHBACK BAHARU DILANCARKAN – VARIAN V, PETROL RS DAN e:HEV RS, HARGA BERMULA RM95,900

Honda Malaysia secara rasmi melancarkan Honda City Hatchback baharu dengan penampilan lebih segar, penambahbaikan pada sistem infotainmen serta ciri keselamatan yang dipertingkatkan.

Model berkenaan ditawarkan dalam tiga varian iaitu V, Petrol RS dan e:HEV RS, dengan harga bermula RM95,900 tanpa insurans.

Pelancaran itu melengkapkan barisan Honda City yang turut merangkumi versi sedan, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna berdasarkan cita rasa dan keperluan harian masing-masing.

Dari segi penampilan, City Hatchback baharu menerima kemas kini pada bahagian hadapan menerusi reka bentuk lampu yang lebih moden, termasuk lampu utama Connected Headlights dan Bi-LED baharu.

Model itu turut dilengkapi rim aloi dua tona bersaiz 16-inci. Varian RS menggunakan kemasan Berlina Black dan Dark Clear, manakala varian V menerima kemasan Shark Gray.

Empat pilihan warna ditawarkan, iaitu;

  • Platinum White Pearl
  • Meteoroid Gray Metallic
  • Stellar Diamond Pearl
  • Blazing Red Pearl

Bahagian kabin juga diberikan beberapa penambahbaikan bagi mewujudkan suasana lebih moden. Papan pemuka kini menampilkan kemasan 3D Pattern Mid Garnish bersama pencahayaan ambien.

Bagi varian RS, tempat duduk menerima kemasan sport baharu dengan jahitan merah yang menyerlahkan karakter lebih sporty.

Sistem Display Audio bersaiz 10-inci turut disediakan bagi memudahkan akses kepada fungsi hiburan dan sambungan peranti, selain pengecas tanpa wayar yang membolehkan pengguna mengecas telefon pintar tanpa memerlukan kabel.

Dari aspek praktikaliti, Honda mengekalkan ciri ULTRA Seats yang membolehkan konfigurasi ruang kabin diubah mengikut keperluan. Empat mod tempat duduk disediakan, merangkumi Utility, Long, Tall dan Refresh, bagi memudahkan penyimpanan barangan serta memberikan fleksibiliti ketika membawa muatan berbeza.

Aspek keselamatan turut menjadi antara fokus utama bagi model yang dikemas kini itu apabila ciri Blind Spot Information dengan Cross Traffic Monitoring, Honda LaneWatch dan Honda SENSING kini ditawarkan sebagai kelengkapan standard bagi semua varian.

Varian RS pula dilengkapi sistem kamera Multi-View 360 darjah bagi membantu pemandu memantau keadaan sekeliling kenderaan, khususnya ketika meletakkan kenderaan atau bergerak di ruang sempit.

Bagi rangkaian kuasa, pengguna boleh memilih enjin petrol 1.5 liter DOHC i-VTEC atau sistem hibrid 1.5 liter e:HEV, bergantung pada varian pilihan.

Honda City Hatchback e:HEV RS menghasilkan kuasa 109PS dengan tork 253Nm, menawarkan penghantaran kuasa yang lancar menerusi teknologi hibrid.

Honda Malaysia turut menyediakan jaminan bateri hibrid selama 10 tahun tanpa had perbatuan bagi varian e:HEV, manakala semua varian petrol dan hibrid menerima jaminan kenderaan selama lapan tahun tanpa had perbatuan.

Selain itu, Honda Malaysia juga menawarkan ganjaran tunai RM4,000 kepada pelanggan yang mendaftarkan mana-mana varian City Hatchback baharu sepanjang kempen pelancaran.

Pemilik Honda sedia ada yang menukar beli kenderaan menerusi program Honda Certified Used Car (HCUC) terpilih pula layak menikmati rebat RM2,000 bagi pembelian Honda baharu.

Selain itu, pelanggan yang menukar beli kenderaan daripada mana-mana jenama melalui pengedar sah Honda yang mengambil bahagian dalam kerjasama dengan CARSOME boleh menikmati rebat tambahan RM1,000.

Harga Honda City Hatchback baharu (atas jalan tanpa insurans):

  • Honda City Hatchback V: RM95,900
  • Honda City Hatchback Petrol RS: RM100,900
  • Honda City Hatchback e:HEV RS: RM112,900
Google ads
Back to top button