Buletin

MERCEDES-AMG GT SUV ELEKTRIK DIDEDAHKAN, TAWAR KUASA HINGGA 1,153HP

Mercedes-AMG memperkenalkan sebuah SUV elektrik berprestasi tinggi menerusi GT SUV baharu yang menggabungkan kuasa luar biasa, teknologi pengecasan pantas dan kejuruteraan diinspirasikan daripada kereta sport jenama itu.

Model bagi tahun 2028 itu ditawarkan dalam tiga varian iaitu GT53 SUV, GT55 SUV dan GT63 SUV, dengan varian tertinggi menghasilkan kuasa maksimum sehingga 1,153hp serta tork 2,000Nm.

Mercedes-AMG GT SUV juga menjadi SUV bersaiz penuh pertama yang dibangunkan sepenuhnya oleh AMG, selain model kedua menggunakan platform elektrik berprestasi tinggi AMG.EA selepas AMG GT 4-Door Coupe.

Ketiga-tiga varian dilengkapi sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+, manakala GT55 dan GT63 menggunakan tiga motor elektrik, terdiri daripada satu motor di hadapan dan dua di bahagian belakang.

Konfigurasi itu membolehkan sistem mengagihkan kuasa mengikut keperluan pemanduan, termasuk memutuskan operasi motor hadapan apabila tidak diperlukan bagi membantu menjimatkan tenaga.

Sebaliknya, GT53 menggunakan dua motor elektrik, masing-masing pada gandar hadapan dan belakang. Model itu turut dilengkapi transmisi dua kelajuan pada gandar belakang bagi mengimbangi pecutan pantas dengan kecekapan ketika dipandu pada kelajuan lebuh raya.

TIGA VARIAN, KUASA BERBEZA

GT53 SUV menghasilkan kuasa berterusan 362hp dengan kuasa puncak 536hp dan tork 800Nm. Model ini mampu memecut dari sifar hingga 97km/j dalam 4.1 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 230km/j.

GT55 SUV pula menawarkan kuasa berterusan 711hp, dengan kuasa puncak 805hp dan tork 1,860Nm. Pecutan dari sifar hingga 97km/j mengambil masa tiga saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 270km/j.

Bagi GT63 SUV, kuasa puncaknya meningkat kepada 1,153hp dengan tork 2,000Nm. Walaupun menggunakan konfigurasi tiga motor yang sama seperti GT55, talaan sistem kuasa yang berbeza membolehkannya mencapai pecutan sifar hingga 97km/j dalam hanya 2.6 saat.

Kelajuan maksimum GT63 SUV turut dihadkan kepada 270km/j.

PENGECASAN PANTAS HINGGA 710 KW

Sistem elektrik 800 volt yang digunakan pada GT SUV menyokong pengecasan arus terus (DC) berkuasa tinggi, dengan kadar maksimum 600kW bagi GT53 dan 710kW untuk GT55 serta GT63.

GT53 menggunakan bateri berkapasiti 106kWj, manakala kedua-dua varian lebih tinggi dilengkapi bateri 128kWj.

Menurut Mercedes-AMG, GT53 boleh memperoleh tambahan jarak pemanduan sehingga 380 kilometer dalam tempoh 10 minit pengecasan berdasarkan ukuran WLTP. GT55 dan GT63 pula berupaya menambah jarak sehingga 450 kilometer dalam tempoh yang sama.

GT63 diunjurkan menawarkan jarak pemanduan antara 620 hingga 700 kilometer mengikut konfigurasi. Bagaimanapun, angka rasmi berdasarkan piawaian EPA Amerika Syarikat masih belum diumumkan dan mungkin berbeza daripada penilaian WLTP.

SUSPENSI KHAS UNTUK PENGENDALIAN LEBIH TEPAT

Bagi memastikan saiz dan berat sebuah SUV tidak menjejaskan pengalaman pemanduan, GT SUV menggunakan sistem suspensi AMG Active Ride Control+.

Sistem itu ditawarkan sebagai kelengkapan standard pada GT63 dan pilihan untuk GT55. Ia menggunakan penyerap hentak hidraulik serta spring udara boleh laras bagi mengawal pergerakan badan kenderaan tanpa memerlukan bar penstabil konvensional.

Teknologi tersebut membantu mengurangkan olengan ketika mengambil selekoh, tundukan bahagian hadapan ketika membrek dan pergerakan badan ketika memecut.

GT63 turut dilengkapi pakej AMG Dynamic Plus sebagai standard, manakala GT55 boleh mendapatkannya sebagai pilihan. Pakej berkenaan merangkumi unit kawalan AMG Race Engineer yang membolehkan pemandu melaraskan tindak balas motor, pengendalian dan cengkaman menggunakan tiga kawalan berputar.

BUNYI ENJIN SIMULASI, PENGALAMAN AMG

Walaupun menggunakan tenaga elektrik, Mercedes-AMG tetap mahu mengekalkan karakter pemanduan yang sinonim dengan model berprestasi tingginya.

Melalui sistem AMGForce Sport+, GT55 dan GT63 menghasilkan bunyi enjin V8 simulasi, manakala GT53 menawarkan bunyi yang menyerupai enjin enam silinder.

Sistem itu dibangunkan menggunakan rakaman enjin sebenar dengan bantuan 16 mikrofon. Bunyi yang dihasilkan berubah mengikut pecutan serta gaya pemanduan, termasuk simulasi pertukaran gear.

Pemandu turut boleh menggunakan pedal penukar gear pada stereng untuk mengaktifkan pertukaran gear simulasi. Getaran pada tempat duduk dan paparan khas turut disediakan bagi menambah sensasi pemanduan.

Sebanyak tujuh mod pemanduan AMG Dynamic Select ditawarkan, merangkumi Comfort, Sport, AMGFORCE Sport+, Race, Slippery, Eco dan Individual. Mod Race turut menyediakan fungsi Drift Mode, Drag Race dan Launch Control.

REKAAN SPORTIF DENGAN KABIN DIGITAL

Dari segi penampilan, GT SUV menampilkan garis bumbung yang landai, badan lebar, gerbang roda berotot serta tingkap sisi tanpa bingkai. Enam lampu bulat di bahagian belakang pula memberikan identiti visual yang seiring dengan model sedan saudaranya.

Sistem aerodinamik aktif turut digunakan bagi membantu mengimbangi kecekapan dan kestabilan. Sistem Aerokinetics Airpanel menggunakan sirip boleh gerak pada bampar hadapan untuk mengawal aliran udara penyejukan, manakala spoiler belakang aktif pada GT55 dan GT63 melaraskan kedudukannya mengikut keperluan pemanduan.

Bahagian kabin dilengkapi paparan instrumen digital 10.2-inci dan skrin infotainmen tengah 14-inci. Skrin tambahan 14-inci untuk penumpang hadapan ditawarkan sebagai pilihan.

Kemudahan lain termasuk tempat duduk belakang untuk tiga penumpang, sandaran tempat duduk belakang boleh dilipat serta bumbung kaca panoramik yang boleh bertukar daripada lutsinar kepada legap.

Untuk ruang penyimpanan, GT SUV menyediakan kapasiti bagasi 606 liter di belakang tempat duduk belakang, selain ruang simpanan hadapan berkapasiti kira-kira 79 liter.

Mercedes-AMG masih belum mengumumkan harga rasmi untuk pasaran Amerika Syarikat atau anggaran jarak pemanduan berdasarkan piawaian EPA.

SUV elektrik berprestasi tinggi itu dijangka mula tiba di pengedar Amerika Syarikat pada musim panas 2027.

Google ads
Back to top button