Buletin

HONDA MALAYSIA RASMI BUKA TEMPAHAN UNTUK CITY HATCHBACK BAHARU

Honda Malaysia secara rasmi membuka tempahan bagi City Hatchback baharu, sekali gus melengkapkan penawaran rangkaian City selepas pelancaran City Sedan baharu baru-baru ini.

Model hatchback segmen B itu hadir dengan reka bentuk diperbaharui, teknologi sambungan yang dipertingkatkan serta ciri keselamatan lebih menyeluruh, bagi memenuhi keperluan pengguna.

Dari segi luaran, model ini menerima penampilan lebih sporty menerusi rekaan bahagian hadapan yang lebih tajam dan kemas.

Lampu hadapan baharu yang disambungkan secara visual memberikan identiti lebih moden, manakala rekaan rim yang dikemas kini menambah lagi daya tarikannya.

Bagi varian RS, ia dipadankan dengan rim aloi dua tona 16-inci berkemasan Berlina Black dan Dark Clear.

Ruang kabin turut menerima sentuhan baharu yang meningkatkan suasana premium dan moden. Antara perubahan utama ialah kemasan papan pemuka dengan corak tiga dimensi serta pencahayaan ambien yang memberikan pengalaman lebih eksklusif kepada pengguna.

Selain itu, sistem infotainmen kini menggunakan skrin Display Audio bersaiz 10-inci yang direka dalam bentuk terapung, menawarkan paparan lebih jelas serta operasi lebih mudah.

Dari aspek praktikaliti, City Hatchback baharu masih mengekalkan kelebihan tempat duduk ULTRA Seats yang menjadi identiti model ini. Sistem tempat duduk tersebut menawarkan empat konfigurasi berbeza bagi memaksimumkan penggunaan ruang mengikut keperluan penumpang dan barangan.

Bagi varian tertinggi, Honda terus menawarkan sistem hibrid 1.5 liter e:HEV yang menghasilkan kuasa 109PS serta tork maksimum 253Nm.

Honda Malaysia turut memperkenalkan jaminan bateri dan komponen hibrid selama 10 tahun tanpa had perbatuan, sebagai bukti keyakinan terhadap ketahanan teknologi tersebut.

Dari sudut keselamatan, City Hatchback baharu kini dilengkapi sistem Kamera Multi-View 360 darjah yang membantu pemandu memantau persekitaran ketika meletakkan kenderaan atau bergerak di kawasan sempit.

Turut disediakan ialah ciri Blind Spot Information (BSI) dan Cross Traffic Monitoring (CTM), berfungsi meningkatkan kesedaran pemandu terhadap kenderaan di titik buta serta lalu lintas yang menghampiri ketika mengundur.

Honda Malaysia turut mengumumkan pakej jaminan baharu selama lapan tahun tanpa had perbatuan untuk semua model Honda baharu, termasuk varian petrol dan hibrid.

Inisiatif yang berkuat kuasa mulai 1 September 2026 itu bertujuan memberikan perlindungan pemilikan jangka panjang serta ketenangan minda kepada pelanggan.

Google ads
Back to top button