
TIKET ECRL GOMBAK-KOTA BHARU BERMULA RM125 KELAS EKONOMI
Tambang bagi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan bermula daripada RM125 untuk perkhidmatan transit kelas ekonomi antara Gombak dan Kota Bharu, menjelang operasi komersial kereta api itu yang dijadualkan pada pertengahan Disember ini.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan cadangan struktur tambang itu pada 16 Oktober, berdasarkan mekanisme penetapan harga dinamik.
Untuk laluan sepanjang 523 kilometer dari Gombak ke Kota Bharu, tambang bagi perkhidmatan ekspres akan bermula daripada RM147, manakala tambang transit untuk perjalanan dari Gombak ke Kuala Terengganu dan KotaSAS masing-masing akan bermula daripada RM95 dan RM60.
Sementara itu, tambang perkhidmatan ekspres untuk laluan Gombak-Kuala Terengganu dan Gombak-KotaSAS masing-masing akan bermula daripada RM110 dan RM68. – Harian Metro






