
HONDA UMUM 2 LAGI PEMENANG KEMPEN “BECAUSE OF YOU”, BAWA PULANG CIVIC RS & CR-V e:HEV RS
Sambutan ulang tahun ke-25 Honda Malaysia bukan sekadar angka. Ia diraikan dengan cara yang cukup bermakna dengan memberi kembali kepada pelanggan setia yang telah bersama jenama ini selama lebih dua dekad di jalan raya Malaysia.
Menerusi kempen “Because of You”, Honda Malaysia mengumumkan dua pemenang bertuah bagi bulan November, masing-masing membawa pulang sebuah Honda Civic 1.5L RS dan CR-V 2.0L e:HEV RS, dua model yang mewakili karakter sporty dan kecekapan moden Honda hari ini.
Bagi Zulkeffli Abdul Rahman dari Negeri Sembilan, pembelian sebuah Honda HR-V 1.5T V sebagai kereta kedua keluarga bertukar menjadi satu kejutan yang sukar dilupakan. Beliau dinobatkan sebagai pemenang Honda Civic 1.5L RS, sebuah sedan yang sinonim dengan prestasi dan gaya.

Tidak dapat hadir ke majlis penyerahan hadiah, kunci Civic RS tersebut diterima oleh dua anak perempuannya, Nuramirah dan Nuratikah, mewakili detik manis sebuah keluarga yang membesar bersama jenama Honda.
Menurut beliau, kepercayaan terhadap Honda sudah lama terjalin. Dengan reputasi kebolehpercayaan, keselamatan serta rangkaian pusat servis yang meluas, Honda kekal sebagai pilihan utama dalam keluarga mereka. Kini, di laman rumahnya tersadai bukan satu, tetapi tiga model Honda — City, HR-V dan Civic RS.
Sementara itu di Johor, Mohamad Farees Rahimi Ab Kadir langsung tidak menyangka pembelian City Hatchback RS membolehkannya membawa pulang sebuah CR-V 2.0L e:HEV RS, SUV hibrid yang kini menjadi antara model paling seimbang dalam barisan Honda.

Bagi beliau, City Hatchback RS dipilih kerana sifatnya yang kompak, mudah dipandu dan praktikal untuk kegunaan harian. Namun, CR-V e:HEV RS membuka dimensi baharu dari segi ruang yang lebih luas, keselesaan premium dan teknologi hibrid yang sesuai untuk gaya hidup berkeluarga.
Sebelum ini, Honda Malaysia telah mengumumkan dua pemenang pertama bagi City Hatchback RS dan WR-V RS.
Dengan pengumuman hadiah Civic 1.5L RS dan CR-V 2.0L e:HEV RS, kini hanya dua hadiah utama lagi yang masih menanti untuk didedahkan sempena cabutan bertuah kempen ulang tahun ke-25 Honda Malaysia, “Because of You”.


