
KASTAM SELANGOR SITA TIGA KERETA MEWAH, DUA EV
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok, kenderaan, gelung keluli dan minuman keras dianggar bernilai RM26.24 juta termasuk duti serta cukai pada Oktober hingga awal November lepas.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata kesemua barangan terbabit dirampas menerusi Operasi Fortex Trident di sekitar Pelabuhan Klang dan Shah Alam.
Beliau berkata, dalam serbuan di Zon Bebas Pelabuhan Barat di sini pada 29 Oktober dan 4 November lepas, pihaknya merampas lebih 28.8 juta batang rokok putih daripada tiga kontena berstatus alih muatan berukuran 12.19 meter dengan manifes diikrarkan sebagai pakaian.
“Hasil pemeriksaan terhadap kontena pertama menemukan 10 juta batang rokok putih manakala 18.81 juta batang rokok putih ditemukan pada kontena kedua dan ketiga.
“Kesemuanya dianggar bernilai RM3.7 juta serta duti dan cukai berjumlah RM19.79 juta,” katanya pada sidang media di sini pada Isnin.
Mohamad Azhar berkata, pihaknya turut menyita lima kenderaan termasuk dua kenderaan elektrik (EV), kesemua dianggar bernilai RM1.02 juta dalam serbuan di sekitar Pelabuhan Klang dan Gudang Zon Bebas pelabuhan itu pada 17 dan 25 Oktober selepas didapati disimpan melebihi tempoh dibenarkan dalam gudang berlesen serta gagal menjelaskan duti dan cukai.
Beliau berkata, tiga kenderaan mewah disita antaranya BMW dan Porsche itu adalah kereta terpakai manakala EV pula model baharu yang dipercayai diimport tanpa Permit Import.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya. – Sinar Harian









