
HONDA HERITAGE WORKS DILANCAR, SEDIAKAN ALAT GANTI TULEN UNTUK MODEL KLASIK
Honda mengumumkan inisiatif baharu dinamakan Honda Heritage Works, sebuah projek khas yang memberi nafas baharu kepada model ikonik jenama itu dari era terdahulu.
Program ini dijadualkan bermula tahun hadapan dengan Honda NSX sebagai model pertama yang dipilih.
Inisiatif berkenaan diperkenalkan pada 12 Disember 2025 dengan matlamat memastikan pemilik kenderaan klasik Honda dapat terus menggunakan dan memelihara kereta kesayangan mereka.
Perkhidmatan ini akan bermula secara rasmi pada 1 April 2026, merangkumi dua cabang utama iaitu penghasilan semula alat ganti melalui Honda Heritage Parts serta perkhidmatan baik pulih menyeluruh menerusi Honda Restoration Service, yang akan ditawarkan di Jepun.

Bagi sokongan alat ganti, Honda bekerjasama dengan pengeluar komponen untuk menghasilkan semula alat ganti bagi model yang telah dihentikan pengeluaran.
Komponen ini dibangunkan menggunakan teknologi, bahan dan kaedah pembuatan moden, namun masih menepati spesifikasi asal sebagai alat ganti tulen yang boleh terus digunakan.
Selain itu, terdapat juga alat ganti yang dihasilkan semula menggunakan kaedah tradisional, dikenali sebagai alat ganti tulen buatan semula.
Kesemua komponen ini boleh dibeli secara global melalui platform dalam talian Honda Heritage Works yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa, selain ditawarkan menerusi pengedar Honda sah di Jepun bermula April 2026.

Bagi perkhidmatan restorasi kenderaan pula, pusat baik pulih khas akan beroperasi di Wilayah Tochigi, lokasi bersejarah yang menjadi tempat kelahiran Honda NSX generasi pertama.
Menurut laporan, dua pakej disediakan kepada pelanggan iaitu Basic Restoration dan Total Restoration.
Pakej Basic Restoration merangkumi kerja membuka dan membersihkan enjin, penggantian komponen terpilih, pembaikan sistem suspensi serta penggantian komponen berkaitan pintu.
Pelanggan juga boleh menambah pilihan seperti kerja cat luaran atau pemulihan dalaman. Sementara itu, pakej Total Restoration menawarkan pakej lebih menyeluruh termasuk cat semula keseluruhan badan serta pemulihan penuh bahagian dalaman.
Tempahan untuk perkhidmatan restorasi Honda NSX generasi pertama akan dibuka mulai Januari 2026 melalui pusat servis Honda di seluruh Jepun, dengan kerja-kerja restorasi dijadualkan bermula pada April.
Maklumat lanjut berkaitan prosedur pendaftaran dan harga akan diumumkan menerusi laman web Honda Heritage Works pada awal Januari 2026.









