Buletin

XPENG–EPMB DALAM RUNDINGAN, RANCANG PASANG EV DI MALAYSIA BERMULA 2026

Pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, Xpeng, sedang menjalankan rundingan dengan EP Manufacturing Bhd (EPMB) bagi menjalin kerjasama pengeluaran EV secara besar-besaran di Malaysia, yang disasarkan bermula pada 2026.

Menurut kenyataan syarikat itu, Xpeng bercadang memanfaatkan kapasiti sedia ada EPMB serta pelan pengembangan kemudahan pengeluarannya bagi menyokong pembuatan EV tempatan.

EPMB merupakan pengeluar komponen automotif tempatan yang terlibat dalam pembuatan bahagian badan kenderaan berasaskan plastik dan aluminium.

Malaysia dilihat sebagai lokasi strategik oleh Xpeng untuk dijadikan hab pengembangan ke pasaran serantau, khususnya bagi negara-negara ASEAN yang menggunakan stereng kanan.

Namun begitu, setakat ini tiada maklumat terperinci didedahkan berkaitan jumlah pengeluaran atau model EV yang berpotensi dipasang menerusi kerjasama tersebut.

Langkah ini selari dengan strategi pengeluar EV China yang semakin agresif menembusi pasaran luar negara, ketika persaingan harga yang sengit di pasaran domestik terus menekan margin keuntungan. Pengeluaran tempatan juga dilihat sebagai cara untuk mengurangkan kesan halangan perdagangan dan tarif import.

Sebelum ini, Xpeng telah memulakan pemasangan model X9 di Indonesia pada Julai lalu, menandakan kemudahan pengeluaran luar negara pertamanya.

Pada September pula, syarikat kejuruteraan automotif Magna mengumumkan perancangan untuk menghasilkan model EV Xpeng di kilangnya di Graz, Austria, satu langkah yang dijangka membantu Xpeng mengelak tarif Kesatuan Eropah terhadap EV buatan China.

Dari segi prestasi jualan, Xpeng mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 391,937 unit dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, meningkat 156 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Penghantaran ke pasaran luar negara juga hampir berganda kepada 39,773 unit.

Malaysia kini semakin menonjol sebagai antara pusat pembuatan EV di Asia Tenggara, menyertai Thailand dan Indonesia.

Sebelum ini, BYD mengumumkan rancangan membina kilang pemasangan EV di Perak, manakala Leapmotor pula akan memulakan pemasangan tempatan di kilang sedia ada Stellantis di Gurun, Kedah. – The Edge

Google ads
Back to top button