
iCAUR V23 DILANCARKAN – DUA VARIAN, JARAK GERAK SEHINGGA 430KM, HARGA BERMULA RM119K
iCAUR Malaysia hari ini melancarkan model terbaharu mereka, iCAUR V23, sebuah SUV elektrik segmen C yang menggabungkan elemen retro dengan sentuhan teknologi moden.
iCAUR V23 sebelum ini membuat kemunculan rasmi dalam konfigurasi pemanduan kanan (RHD) di Starhill, Kuala Lumpur, selepas terlebih dahulu dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2025.
Dari segi dimensi, V23 berada dalam kategori SUV kompak dengan ukuran 4,220mm panjang, 1,915mm lebar dan 1,845mm tinggi, bersama jarak roda 2,735mm.
Pelanggan ditawarkan dua pilihan varian iaitu 2WD dan iWD (intelligent AWD). Varian 2WD dipacu motor tunggal di gandar belakang dengan kuasa 136PS dan 180Nm, manakala varian iWD dipadankan dua motor yang menjana gabungan 211PS dan 292Nm.

Untuk jarak gerak, varian 2WD dilengkapi bateri LFP 59.9kWh dengan jarak sehingga 360km (NEDC). Varian iWD pula menggunakan bateri NMC 81.8kWh yang membolehkan pemanduan sehingga 430km (NEDC).
Dari segi prestasi, ia sederhana tetapi memadai untuk kegunaan harian, 0-100 km/j dicapai dalam 11 saat bagi 2WD dan 7.5 saat untuk iWD.
Kedua-duanya mempunyai kelajuan maksimum 140 km/j. Keupayaan pengecasan turut berbeza; 2WD menyokong pengecasan pantas DC 85kW manakala iWD boleh mencapai sehingga 104kW. Pengecasan AC pula ditetapkan pada 6.6kW.
Kedua-dua varian turut hadir dengan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 3.3kW, membolehkan tenaga bateri digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik ketika berkhemah, berniaga di lapangan atau kecemasan.

Chassis V23 dibangunkan dengan fokus pada ketahanan dan keselesaan, menggunakan suspensi MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang bagi memberikan keseimbangan yang baik antara kawalan dan keselesaan pemanduan.
Reka bentuk luaran tampil berani dengan bentuk petak klasik bersama rim 19-inci (2WD) atau 21-inci (iWD).
V23 tiba di Malaysia dengan pilihan warna seperti;
- Off Road Orange (Oren Off Road)
- Khaki White (Putih Khaki)
- Army Green (Hjiau Tentera)
- Slate Silver (Perak Slate)
- Carbon Black (Hitam Karbon)
Bahagian kabin pula membawa tema futuristik-retro, dilengkapi paparan 540-darjah “Transparent Chassis View”, tombol putar fizikal di konsol tengah, serta bumbung tinggi yang menyerlahkan ruang dalaman yang lebih lapang.

Jaminan keselamatan diberikan menerusi ciri-ciri keselamatan menyeluruh termasuk enam beg udara dan sistem bantuan pemandu lanjutan ADAS Aras 2.
Segala ciri keselamatan ini disokong oleh radar gelombang milimeter yang disepadukan ke dalam badan kenderaan untuk meningkatkan ketepatan pengesanan dalam pelbagai persekitaran.
Versi standard iCAUR V23 menyediakan ciri-ciri ADAS berikut:
- Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
- Maklumat Terlepas Keluar (DAI)
- Amaran Perlanggaran Depan (FCW)
- Amaran Pertukaran Lorong (LCW)
- Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Amaran Perlanggaran Belakang (RCW)
- Pencegahan Keluar Lorong (LDP)
- Amaran Lalu Lintas Silang Belakang (RCTA)
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Bantuan Mengelakkan Kesesakan Lalu Lintas (TJA)
- Pengesanan Titik Buta (BSD)
- Amaran Pembukaan Pintu (DOW)
Selain daripada prestasi dan ciri keselamatannya, iCAUR V23 dilengkapi dengan pilihan ciri-ciri berguna yang direka untuk memudahkan penggunaan harian.
Antaranya termasuk Monitor Pandangan Menyeluruh (AVM) 540-darjah tersendiri jenama, Sistem Pengawasan Tekanan Tayar (TPMS), dan pembaca NFC yang diletakkan di dapra sisi pemandu untuk capaian pantas.
Beralih pada harga, iCAUR V23 diletakkan pada harga RM119,800 bagi versi 2WD dan RM132,800 bagi versi iWD, dan penyerahan kenderaan di dalam negara akan bermula serta-merta.

Para pemilik V23 mendapat sokongan khidmat penjagaan komprehensif yang disediakan bagi semua model iCAUR.
Perkhidmatannya termasuk waranti kenderaan tujuh tahun atau 150,000km, waranti bateri dan unit pacuan lapan tahun atau 160,000km, dan jaminan penggantian bateri sekiranya Keadaan Kesihatan jatuh di bawah 70% dalam tempoh waranti.
Untuk 1,000 pendaftaran pertama, iCAUR Malaysia memperkenalkan Pakej Pembeli Awal yang dirangka khas untuk memberikan nilai bermakna kepada proses pemilikan.
Setiap pembelian termasuk pengecas rumah Wallbox (Kotak Dinding) 7kW percuma bernilai RM3,400, untuk menawarkan kemudahan pengecasan di rumah kepada pengguna sejak dari mula lagi.
Untuk meningkatkan lagi kesenangan penggunaan harian, pakej ini termasuk unit kluster instrumen sokongan 6.86-inci yang bernilai RM1,000.
Di samping itu, pembeli akan menerima waranti lanjutan untuk bateri, motor elektrik dan unit kawalan kuasa yang meliputi tempoh sehingga sepuluh tahun atau 200,000km.
GALERI:

























