
iCAUR V23 DIPERKENALKAN – DUA VARIAN, JARAK GERAK HINGGA 501KM, ANGGARAN HARGA BERMULA RM145K
iCAUR Malaysia secara rasmi memperkenalkan model terbaharunya, iCAUR V23, sebuah SUV elektrik C-segmen yang memadukan reka bentuk retro dengan teknologi moden.
Model pacuan elektrik sepenuhnya ini tampil buat pertama kali dalam konfigurasi Right-Hand Drive (RHD) di Starhill, Kuala Lumpur, selepas membuat penampilan awal di Malaysia Autoshow 2025.
Dari segi saiz, V23 berada dalam julat SUV kompak dengan ukuran 4,220mm panjang, 1,915mm lebar, dan 1,845mm tinggi, bersama jarak roda 2,735mm.

iCAUR menawarkan dua pilihan varian: 2WD dan iWD (intelligent AWD). Varian asas 2WD menggunakan motor tunggal di gandar belakang dengan output 136PS dan 180Nm, manakala varian pacuan semua roda dwi-motor menghasilkan 211PS dan 292Nm.
Varian 2WD menggunakan bateri 59.9kWh LFP, menawarkan jarak sehingga 401 km (CLTC). Sementara itu, varian iWD mendapat pek bateri 81.8kWh NMC, membolehkan jarak maksimum mencapai 501 km (CLTC).
Prestasinya sederhana tetapi mencukupi — 0-100 km/j dalam 11 saat bagi 2WD dan 7.5 saat untuk iWD, dengan had kelajuan dikunci pada 140 km/j.

Untuk pengecasan, varian 2WD menyokong DC fast charging sehingga 85kW, manakala iWD boleh mencapai 104kW, selain pengecasan AC 6.6kW.
Menariknya, kedua-dua varian hadir dengan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) berkuasa 3.3kW, membolehkan pengguna menyalurkan tenaga dari bateri kenderaan untuk menghidupkan peralatan elektrik luaran, ideal untuk aktiviti perkhemahan atau kerja luar tapak.
Casis V23 dibina berasaskan falsafah “daya tahan dan keselesaan”, menggunakan suspensi MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang, menawarkan keseimbangan antara kawalan dan keselesaan pemanduan.

Reka bentuk luaran menonjol dengan gaya petak klasik berotot, lengkap dengan rim 19-inci (2WD) atau 21-inci (iWD). Bahagian dalamannya pula bernafas gaya futuristik-retro, menampilkan kamera 540-darjah “Transparent Chassis View”, butang putar fizikal di konsol tengah, serta bumbung tinggi yang memberikan suasana kabin luas dan lapang.
Ciri keselamatan tidak diabaikan, dengan Sistem Bantuan Pemandu Tahap 2 (ADAS Level 2) termasuk Adaptive Cruise Control, Amaran Keluar Lorong, dan Brek Kecemasan Automatik.
iCAUR V23 dijangka dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada suku keempat 2025, dengan anggaran harga antara RM145,000 untuk 2WD dan RM155,000 untuk iWD.

Tempahan awal kini telah dibuka bagi pelanggan yang ingin menjadi antara pemilik terawal SUV elektrik bergaya unik ini.
GALERI:























