Buletin

JPJ TAHAN PENCERAMAH MOTIVASI POPULAR GUNA NOMBOR KERETA PALSU ELAK DISAMAN

Seorang penceramah motivasi popular yang mempunyai ramai pengikut di media sosial ditahan selepas dikesan menggunakan nombor pendaftaran diubah suai bagi mengelak dikesan sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata lelaki berusia 50 tahun itu dikesan menggunakan nombor pendaftaran tulen pada bahagian hadapan kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya, tetapi memasang nombor plat hampir sama pada bahagian belakang dengan menggugurkan satu huruf bagi mengelirukan sistem AWAS.

Beliau berkata, tindakan penceramah itu mengakibatkan saman berjumlah lebih RM12,600 yang terkumpul sejak September 2023 dikeluarkan kepada pemilik nombor pendaftaran hampir sama.

Katanya, pihaknya menahan lelaki itu pada jam 9.30 malam Sabtu lalu di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Behrang arah Selatan.

“Pemeriksaan mendapati kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner milik penceramah itu menggunakan nombor pendaftaran ‘PRF’ yang dipamerkan di bahagian hadapan, manakala nombor pendaftaran ‘RF’ di belakang.

“Siasatan lanjut mendapati nombor pendaftaran RF memang wujud dan dimiliki individu lain menetap di Perlis.

“Aduan dibuat pemilik asal yang sering menerima notis saman AWAS atas kesalahan yang bukan dilakukannya dan apabila JPJ melaksanakan senarai hitam, beliau terjejas untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) lalu membuat aduan mengenainya,” katanya.

Muhammad Kifli berkata, penceramah itu mengaku mengubah suai nombor plat belakang bagi mengelak dikesan AWAS dan semua saman itu kini dipindahkan semula kepada kenderaan sebenar.

Beliau berkata, lelaki itu juga memandu melebihi had kelajuan iaitu sekitar 140 hingga 160 kilometer dan sering ke negeri di sebelah utara tanah air untuk program motivasi bersama bakal usahawan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu dan kenderaan itu disita mengikut Seksyen 64(1) akta sama.

“JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik atau pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan undang-undang, termasuk pemalsuan nombor pendaftaran,” katanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button