Buletin

PENGUATKUASAAN VEP: JPJ KELUARKAN 1,489 SAMAN, KUTIP RM445,800

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 1,489 saman terhadap kenderaan berpendaftaran Singapura yang dikesan tidak memasang serta tidak mengaktifkan tag RFID Permit Kemasukan Kenderaan (VEP).

Saman berkenaan dikeluarkan sepanjang tempoh 1 Julai lalu hingga kelmarin melalui Operasi Penguatkuasaan VEP ke atas kenderaan asing dari republik itu di sempadan darat Malaysia-Singapura.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata bayaran saman berjaya dikutip hasil operasi itu mencecah jumlah RM445,800.

Beliau berkata, sebanyak 14,379 kenderaan berpendaftaran Singapura telah diperiksa di luar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan sekitar daerah ini.

“Malam ini saja (malam tadi), sebanyak 15 saman dikeluarkan terhadap kenderaan berpendaftaran Singapura yang memasuki Malaysia tanpa memasang dan tidak mengaktifkan tag RFID VEP.

“Rata-rata 1,489 pemilik atau pemandu kenderaan yang kita saman, setakat ini, memberi alasan hampir sama, iaitu tidak tahu Kerajaan Malaysia sudah melaksanakan penguatkuasaan, sebaliknya ingat kita masih dalam tindakan advokasi.

“Namun, kita mengambil tindakan tegas tanpa kompromi dan tidak akan memberi amaran lagi, sebaliknya terus mengeluarkan saman serta-merta. Malah, mereka juga perlu menjelaskan saman itu dengan serta-merta,” katanya pada sidang media selepas menyertai Operasi Penguatkuasaan VEP di susur keluar BSI di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Kifli berkata, hampir 90 peratus kenderaan persendirian berpendaftaran Singapura memiliki VEP yang sudah diaktifkan.

Hingga 31 Julai lalu, beliau berkata, JPJ sudah mengeluarkan sebanyak 277,930 tag RFID VEP kepada pemilik kenderaan berpendaftaran Singapura meliputi kenderaan persendirian individu dan syarikat.

“Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan kenderaan berpendaftaran Singapura yang keluar dari Johor Bahru sudah mempunyai tag RFID VEP yang lengkap, namun kita percaya masih ada yang belum mendaftar VEP di kawasan sekitar daerah ini.

“Selepas disaman, mereka akan akur dan terus memasang serta mengaktifkan VEP masing-masing.

“Dalam operasi dijalankan, setakat ini, hanya ada seorang tidak memberi kerjasama pada awalnya tetapi apabila kita ingin menyita kenderaannya, dia akur dan terus menjelaskan saman serta mendaftar VEP,” katanya.

Muhammad Kifli berkata, pihaknya akan meneruskan operasi penguatkuasaan itu hingga ke satu tarikh ditetapkan kemudian.

“Kita akan terus memeriksa kenderaan berpendaftaran Singapura di mana-mana lokasi tumpuan warga republik itu.

“Oleh itu, kita ingin mengingatkan semua pemilik kenderaan asing supaya segera mendaftar, memasang serta mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelak sebarang kesulitan ketika memasuki dan keluar dari Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 66H(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh disaman maksimum RM300. – Berita Harian

Google ads
Back to top button